MALAYSIA

Sebutan kes lucut hak Menara Ilham pada 6 Ogos depan - SPRM

Hasimi Muhamad 01/07/2025 | 11:02 MYT
Permohonan lucut hak Menara Ilham telah dibuat di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pendengaran dan sebutan kes permohonan lucut hak Menara Ilham yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, ditetapkan pada 6 Ogos depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 6 Ogos sebagai tarikh pendengaran kes lucut hak Menara Ilham, dipercayai milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin, atas permohonan SPRM di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001.
  • SPRM memohon melucut hak Menara Ilham tanpa pendakwaan dan permohonan itu telah diluluskan oleh Timbalan Pendakwa Raya serta difailkan secara rasmi.
  • SPRM turut bekerjasama dengan agensi luar negara, termasuk Amerika Syarikat, untuk mengambil tindakan terhadap aset lain milik Allahyarham, isterinya dan proksi mereka.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan proses tersebut dijadual berlangsung pada jam 9 pagi oleh Pendaftar Kanan, K Neethiya Nair.
Jelas suruhanjaya itu, permohonan lucut hak Menara Ilham telah dibuat di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
"SPRM telah memohon untuk lucut hak tanpa pendakwaan Menara Ilham di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 dan telah dibenarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.
"Pada tarikh yang sama, proses pemfailan kes baharu Permohonan Lucut Hak Menara Ilham di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah diluluskan," katanya dalam kenyataan tersebut.
.
Sementara itu, SPRM berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi luar negara di Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bantuan bagi pemfailan kes terhadap aset-aset kepunyaan Allahyarham Tun Daim, isterinya Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid dan proksinya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan SPRM memfailkan permohonan melucutkan hak ke atas Menara Ilham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Selain Menara Ilham, Azam berkata pihaknya akan turut memfailkan permohonan melucut hak ke atas beberapa aset milik Allahyarham Tun Daim, isterinya, serta proksi mereka.
#Menara Ilham #Daim Zainuddin #SPRM lucut hak Menara Ilham #terkini