Sebutan semula kes anggota polis bunuh isteri pada 12 Mei

Bernama
April 14, 2023 04:46 MYT
Tertuduh (baju merah) dituduh membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi pada 5 Mac lalu. - Gambar fail/ Astro AWANI
KANGAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 12 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes anggota polis berpangkat lans koperal yang dituduh membunuh isterinya pada 5 Mac lepas.
Majistret Ana Rozana Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Pengarah Pendakwaan Perlis Mohd Nordin Ismail supaya tarikh baharu sebutan semula kes itu ditetapkan kerana pihaknya masih menunggu laporan psikiatrik Mohamad Nizarman Hassim, 27, yang belum siap sepenuhnya.
Pada 17 Mac lepas, Mahkamah Majistret yang sama telah mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri selepas mahkamah membenarkan permohonan Mohd Nordin supaya tertuduh menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mohamad Nizarman dituduh membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi pada 5 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh dipercayai membunuh isterinya dengan menembak dalam kejadian di dalam sebuah bilik kediaman keluarga mangsa.
-- BERNAMA
#tembak isteri #anggota polis #bunuh isteri #keputusan mahkamah