Sebutir bom lama dijumpai di kawasan rekreasi Sungai Kedondong

Bernama
September 10, 2022 13:05 MYT
Sebutir bom lama dijumpai di kawasan rekreasi Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali - Genting Highland, pada Rabu lepas. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sebutir bom lama dijumpai di kawasan rekreasi Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali - Genting Highland, dekat sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata bom lama dianggarkan seberat 50 kilogram itu dijumpai oleh seorang lelaki tempatan bersama rakannya ketika sedang memancing di air terjun di kawasan berkenaan pada 2 petang.
Beliau berkata lelaki yang merupakan seorang peniaga itu telah membuat laporan pada 4.43 petang semalam dan hasil siasatan pihak polis mendapati ia adalah bom lama yang telah tertanam di dalam tanah kawasan tebing sungai dan tidak aktif.
"Bom lama ini telah dijatuhkan dari kapal terbang semasa perang Jepun. Ukuran lilitan bom tersebut adalah 42 inci (106.68 sentimeter) serta panjangnya berukuran 42 inci.
Sepasukan Unit Bom Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah mengambil tindakan untuk memusnahkan bom tersebut, pukul 2.50 petang hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang dan sebarang maklumat pertanyaan boleh menghubungi terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223.
-- BERNAMA
#bom lama #kawasan rekreasi #Sungai Kedondong #Jalan Batang Kali #Genting Highlands #Polis Daerah Hulu Selangor #air terjun