Seekor lagi gajah Pygmy ditemui mati dengan kesan tembakan

Ridzal Abdullah
Oktober 20, 2019 14:13 MYT
Kejam! Begini keadaan bangkai gajah Pygmy yang ditemui pekerja ladang terbabit. - PDRM/Jabatan Hidupan Liar Sabah
Seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan lima kesan luka disyaki akibat ditembak di sebuah ladang kelapa sawit, dekat sini, semalam (19 Oktober).
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata, bau busuk membawa penemuan bangkai gajah terbabit oleh pekerja ladang.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati gajah tersebut telah mati lebih kurang lima hari lalu.
"Semasa pemeriksaan dijalankan mendapati, gading gajah tersebut telah tiada.
"Gajah jantan tersebut dianggarkan berusia dalam lingkungan 25 tahun. Mempunyai berat dua tan lebih dan tinggi lebih dua meter," katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Menurutnya, semasa bedah siasat telah mengesan beberapa luka lama dipercayai kesan tembakan pada bahagian punggung gajah tersebut namun tidak menembusi bahagian kulit.
"Punca kematian sebenar masih belum dikenal pasti.
"Setakat ini suspek belum dikenal pasti dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian ini tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan dibawah seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi," katanya.
#aksi kejam manusia #Beluran #gajah ditembak mati #gajah pygmy #haiwan liar #hidupan liar #Jabatan Hidupan Liar #Perhilitan #Sabah