JOHOR BAHRU: Segamat, daerah terawal yang terjejas dengan kejadian banjir tahun ini, mencatatkan penerimaan hujan paling banyak bagi daerah di Johor berdasarkan bacaan taburan hujan yang direkodkan oleh stesen pencerapan bagi tempoh 26 Dis sehingga semalam.

Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dalam tempoh tujuh hari lepas, daerah itu paling banyak menerima hujan berdasarkan bacaan yang direkodkan oleh 23 stesen.

"Jumlah cerapan hujan berdasarkan 23 stesen hujan di seluruh daerah berkenaan dalam tempoh tujuh hari sehingga semalam adalah sebanyak 4,893 milimeter (mm) menjadikan secara purata hujan yang diterima adalah sebanyak 213 mm.

"Sebagai perbandingan, purata jumlah hujan yang diterima di daerah Segamat pada keseluruhan bulan Disember 2020 adalah 114 mm sahaja, manakala purata jumlah hujan yang diterima dalam tempoh seminggu terakhir 2021 ialah 213 mm," menurut data berkenaan.

Bagi tempoh minggu berkenaan, stesen Sekolah Kebangsaan Sungai Loi mencatatkan penerimaan hujan paling banyak iaitu 456mm manakala stesen Sungai Lenik @ Kangar Chaah mencatatkan penerimaan paling rendah sebanyak 57mm.

Dalam tempoh itu juga daerah lain seperti Kota Tinggi menerima hujan sebanyak 930mm dengan purata 52mm di 18 stesen diikuti Johor Bahru sebanyak 826 mm dengan purata 69 mm di 12 stesen.

Selain Segamat, daerah lain yang terjejas banjir di Johor ketika ini ialah Tangkak dan Kota Tinggi, melibatkan pembukaan 32 pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 1,827 orang daripada 466 keluarga.

-- BERNAMA