Orang ramai dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran jika digigit anjing bagi mengelak penularan penyakit anjing gila.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr. Quaza Nizammuddin Hassan Nizam pada masa sama, menggesa pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan mereka menerima suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan.

"Dalam keadaan ini terutama tiga negeri yang terlibat kes, pemilik anjing ini perlu simpan dalam kurungan.

"Jangan biar anjing itu berkeliaran kerana risiko jangkitan kerana ia berlaku melalui gigitan sahaja dan kebanyakan kes yang berlaku ialah melibatkan anjing terbiar atau tidak bertuan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Ujar beliau, strategi kawalan penyakit anjing gila dilakukan sejak 20 tahun lalu bagi mengelak penularan penyakit itu yang bermula dari negara jiran.

"Memang negara jiran kita ada penyakit ini, memang wujud di negara jiran kita dan kita ada buat strategi kawalan bagi mengawal penyakit ini 20 tahun lepas.

"Malaysia (ketika itu) bebas penyakit selepas ujian sampel anjing itu dilakukan untuk mengenal pasti virus berkenaan, " katanya lagi.

Selain itu, menurut Dr Quaza, pihaknya turut melakukan vaksinasi, melesenkan anjing yang bertuan dan musnahkan anjing tidak bertuan kerana wabak berkenaan.

Setakat ini, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diisytihar kawasan wabak anjing gila selepas beberapa kes dikesan di tiga negeri itu.

Kes terbaru dilaporkan berlaku pada 17 ogos lalu di Perlis selepas seekor anjing mengigit tuannya pada 27 Julai lalu di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit dan dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Perlis (DVS) pada 28 Julai 2015.

Kes terakhir penyakit anjing gila atau rabies di Malaysia adalah pada tahun 1999 dan kemudiannya diisytiharkan bebas rabies oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, OIE pada 2012.