Segerakan agihan BKC di kawasan luar bandar - PM

Hilmi Malik
September 6, 2021 08:56 MYT
Bagi memastikan kelancaran agihan BKC bagi golongan berkenaan, Ismail Sabri turut mengarahkan penggunaan baucar tunai bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima tanpa sebarang kelewatan. - Foto ihsan PMO
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Kementerian Kewangan agar dapat menyegerakan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) bagi penerima di kawasan luar bandar.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan, langkah itu bertujuan membantu penerima yang tidak mempunyai sebarang akaun bank dan akses perbankan.
“Perdana Menteri telah meminta Kementerian Kewangan agar memastikan kelancaran proses pengagihan BKC khususnya penerima yang berada di kawasan pedalaman, jauh daripada akses perbankan dan tidak memiliki akaun bank.
“Menurut data Kementerian Kewangan Malaysia, terdapat kira-kira 708,223 penerima BKC yang tidak mempunyai akaun bank,” menurut kenyataan tersebut.
BACA: Lebih banyak bantuan untuk rakyat selepas BKC - PM Ismail Sabri
Bagi memastikan kelancaran agihan BKC bagi golongan berkenaan, Ismail Sabri turut mengarahkan penggunaan baucar tunai bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima tanpa sebarang kelewatan.
Perdana Menteri pada Isnin turut meluangkan masa meninjau sendiri agihan BKC secara dalam talian kepada 10 juta penerima.
Selain itu beliau turut berkesempatan untuk berinteraksi bersama penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) antaranya di Putrajaya, Sabah, dan Johor.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #Kementerian Kewangan #bantuan khas covid-19