PEKAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya kerajaan menyegerakan projek tebatan banjir yang telah dirancang di Pahang dan jangan mempolitikkan usaha itu.

"Saya harap (dalam tempoh) jangka panjang kerajaan harus percepatkan projek-projek tebatan banjir, yang telah dirangka oleh pihak berwajib di seluruh Pahang, dan saya harap janganlah berpolitik dalam hal ini, seelok-eloknya ambil secara serius dan urgent untuk bina tebatan banjir di seluruh Pahang," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1 di sini. Turut berangkat sama ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pegawai Daerah Pekan Datuk Zaliza Zulkipli, Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Hafizah Zakaria dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.

Dalam titah baginda ketika menyantuni mangsa banjir di PPS berkenaan, Seri Paduka mengingatkan pelaksanaan projek-projek berkenaan perlu diambil serius oleh pihak bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan agar kebersihan di PPS sentiasa dijaga khususnya tandas bagi keselesaan mangsa banjir.

"Wabak COVID-19 pun masih ada di negara kita, saya tak mahu lepas banjir ada penyakit lain pula, jangan pandang ringan soal kebersihan, sentiasa jaga kebersihan," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan simpati kepada mangsa banjir dan berharap mereka dapat pulang semula ke rumah masing-masing secepat mungkin.

Terdahulu, baginda berkenan mendengar sembah taklimat daripada Zaliza sebelum mengurniakan sumbangan kepada wakil mangsa lemas di Ladang Sungai Bebar Utara Nenasi, di sini Allahyarham Muhammad Adhwa Haslan dan mangsa banjir yang lain.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah turut menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Dewan Semai Bakti Felda Chini 3, Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3 dan Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya.

Selain itu, baginda turut meluangkan masa melihat mendapan jalan di KM73 Seksyen 102, FT12 Lebuhraya Kuantan-Segamat akibat hujan lebat dan berkenan mendengar sembah taklimat daripada Hafizah.

Setakat 12 tengah hari, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang merekodkan seramai 1,195 mangsa banjir berada di 17 PPS dengan 975 daripada jumlah itu merupakan mangsa banjir di Pekan yang ditempatkan di 11 PPS.

-- BERNAMA