'Sejak bila pemimpin Melayu tak boleh bercakap kepentingan Melayu, Islam?' - Muhyiddin

Ridauddin Daud
September 13, 2023 03:40 MYT
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau telah berkali-kali disiasat dan berhadapan pendakwaan jenayah hanya kerana meyuarakan keresahan orang Melayu dan Islam. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan 3R semata-mata untuk menutup mulut rakyat.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau telah berkali-kali disiasat dan berhadapan pendakwaan jenayah hanya kerana meyuarakan keresahan orang Melayu dan Islam.
Begitupun, pemimpin di blok kerajaan yang mengeluarkan kenyataan jahat dan mengapikan sentimen perkauman tidak pula dikenakan tindakan.
“Adakah saya sebagai pemimpin Melayu dianggap sebagai penjenayah semata-mata kerana menyuarakan kepentingan orang Melayu dan Islam?
“Sejak bila pemimpin Melayu di negara ini sudah tidak boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam? Penjajah British telah lama meninggalkan tanah air kita.
“Tetapi nampaknya dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini agak lebih teruk daripada dasar penjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sebelum mengakhiri perbahasan, Muhyiddin turut mendoakan Malaysia sentiasa aman, maju dan makmur dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup rukun dan harmoni.
#Muhyiddin Yassin #isu 3R #pendakwaan terpilih #siasatan