Sejarah bakal tercipta, Perdana Menteri ketuai rakyat untuk terima vaksin COVID-19 esok

Firdaus Azil
Februari 23, 2021 11:28 MYT
Muhyiddin dan Dr Noor Hisham akan bersama-sama sekitar 500,000 petugas barisan hadapan menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tanggal 24 Februari 2021 bakal mencatatkan satu lagi sejarah penting negara apabila Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bakal mengetuai rakyat di negara ini, untuk menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech itu, esok.
Untuk rekod, kedua-dua individu berkenaan akan bersama-sama sekitar 500,000 petugas barisan hadapan menerima dos pertama mereka, dalam fasa pertama program vaksinasi yang bermula antara Februari hingga April 2021.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada 4 Februari lepas berkata, keputusan kerajaan untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai orang pertama menerima vaksin, adalah untuk memberi keyakinan kepada rakyat negara ini.
BACA: Muhyiddin penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 hujung bulan ini - Khairy
BACA: COVID-19: KKM laksana simulasi pemberian vaksin
Pada 21 Februari lepas, Perdana Menteri dalam catatan di Facebook rasmi beliau berkata, fasa kedua iaitu antara April hingga Ogos 2021, khusus untuk kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang.
Fasa ketiga pula, iaitu antara Mei hingga Februari 2022, untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
Pada 21 Februari lepas, negara mencatatkan sejarah apabila bekalan pertama sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Vaksin berkenaan diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 kendalian MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium.
Selain itu, Khairy pada sidang media sempena Simulasi Pemberian Vaksin COVID-19 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya hari ini berkata, Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech esok.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak esok (Rabu, 24 Feb), manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Labuan pula, pada Khamis (25 Feb).
Ayuh rakyat Malaysia, ikuti siaran langsung detik bersejarah tersebut itu di saluran 501 Awani, laman web www.astroawani.com dan semua platform media sosial Astro AWANI seawal jam 7 pagi Rabu.
Vaksin COVID-19 | KKM laksana simulasi pemberian vaksin
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #penerima pertama #vaksin #Pfizer #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Dr Noor Hisham Abdullah #Khairy Jamaluddin #COVID-19 #MyVaksinCOVID19