[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Sejarah, budaya, sastera ‘tiang seri’ tamadun negara - PM Anwar

Firdaus Azil 08/09/2025 | 02:25 MYT
Anwar melakukan gimik perasmian berikutan Majlis Peluncuran, Penyampaian Watikah dan Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Perlu ada usaha strategik dalam memperkukuhkan pemahaman sejarah di kalangan masyarakat, khususnya, golongan muda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan memperkukuh pemahaman sejarah, budaya dan sastera sebagai asas tamadun Malaysia, bukan hanya mengejar teknologi.
  • Penubuhan Majlis Sejarawan Negara bertujuan memastikan pendidikan sejarah berasaskan fakta, menjadi penasihat kerajaan dan mempertingkatkan literasi sejarah secara inklusif.
  • Golongan muda perlu dilatih dalam pelbagai disiplin termasuk AI, budaya dan agama, dengan penekanan kepada nilai dan akar sejarah sebagai panduan membina tamadun.


Beliau berkata, Malaysia tidak boleh menjadi seperti negara lain yang hanya mengejar kemajuan teknologi baharu, tetapi mengabaikan sejarah, budaya dan sastera, elemen yang beliau gambarkan sebagai ‘tiang seri’ tamadun.

Tegasnya lagi, penubuhan Majlis Sejarawan Negara adalah langkah penting untuk memastikan pendidikan berkaitan sejarah adalah berdasarkan fakta, serta berperanan sebagai badan penasihat kerajaan dalam menangani isu yang berkaitan.

“Kerana usaha yang kita lakukan itu banyak tapi tidak ditangkap. Untuk menyemai semangat
kecintaan. Dan benda-benda seperti sejarah, sastera, budaya. Ini bukan benda-bendanya yang dianggap penting dalam negara yang bersaing hebat sekarang.

"Jadi sebab itu saya anggap ada usaha-usaha yang lebih. Kerana ini tiang seri tamadun. Tamadun tidak tertegak dengan teknologi semata-mata. Tamadun tertegak dengan budaya, dengan sejarah, dengan ketinggian ini. Dan mestinya tamadun yang kita dirikan itu tamadun Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di sini, hari ini.

Mengenai Majlis Sejarawan Negara, Anwar berkata majlis itu berperanan untuk berwacana dengan semua pihak serta memberikan nasihat kepada kerajaan bagi mempertingkatkan literasi sejarah.

“Tugas kita (Majlis Sejarawan Negara) ialah terus berwacana dengan semua pihak, kemudian memberikan nasihat kepada kerajaan, apa lagi yang harus dilakukan,” kata beliau.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Dalam siaran media susulan, Kementerian Perpaduan Negara berkata, Majlis Sejarawan Negara ialah sebuah entiti yang mengawal selia aspek kajian, rujukan sumber, penulisan, penerbitan, pendidikan sejarah serta advokasi berkaitan sejarah negara.

Majlis itu turut berperanan dalam menjana pemikiran dan idea baharu untuk memantapkan pendidikan sejarah negara yang inklusif.

Langkah tersebut penting bagi memastikan ia selaras dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, serta mengesyorkan pemerkasaan penggunaan sumber sejarah yang berautoriti, dan berintegriti dalam penulisan sejarah negara.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, golongan muda perlu dilatih dalam pelbagai disiplin ilmu merangkumi bahasa, budaya, agama dan AI dengan tidak sesekali meninggalkan soal nilai berteraskan "amar makruf nahi mungkar".

"Sejarah ini bagi saya bukan semata-mata disiplin ilmu, tetapi ilmu tentang masyarakat dan peradaban. Apa lagi dalam negara yang sedang berkembang, menanam semangat dalam kalangan generasi muda supaya tidak terlepas, tidak tertinggal landasan sejarah ini.

"Dalam pendidikan saya tekankan konsep kita gapai yang di langit, kita menaikkan AI dan pemikiran baharu, tetapi kita mestilah terus mengakar ke bumi kerana sejarah itu," tambahnya lagi.







#Anwar Ibrahim #sejarah #Majlis Sejarawan Negara #tamadun negara