MALAYSIA

Sekatan akses Grok langkah tepat, pihak berkuasa lebih 'bertaring' - Pakar undang-undang

Astro Awani 14/01/2026 | 08:54 MYT
MCMC menyekat sementara akses kepada AI Grok susulan penyalahgunaan berulang kali, antaranya menjana kandungan lucah. - Foto/fail/Amanz
KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sementara akses kepada Grok, sistem kecerdasan buatan (AI) milik syarikat Elon Musk, disifatkan sebagai langkah tegas dan wajar bagi melindungi masyarakat daripada penyalahgunaan teknologi digital.

Peguam dari Tetuan Sharen Alzalip, Sharen Alzalip berpandangaan pindaan terbaharu kepada Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah memberikan 'taring' yang lebih tajam kepada kuasa penguatkuasaan yang lebih berkesan kepada pihak berkuasa.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan istilah "jelik melampau" dalam pindaan tersebut meliputi rujukan kasar, ucapan kebencian serta kandungan yang menjatuhkan maruah individu secara keterlaluan.

"Subseksyen (1) secara jelas melarang mana-mana pihak daripada memulakan penghantaran komunikasi yang lucah, palsu, atau mengancam dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, hukuman yang diperuntukkan kini jauh lebih berat sebagai langkah pencegahan dan pengajaran kepada masyarakat.

Pindaan tersebut antaranya menyatakan, jika kesalahan melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun.

Sharen turut menegaskan bahawa peruntukan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi masyarakat daripada eksploitasi teknologi AI yang tidak terkawal.

Sementara itu, seorang lagi peguam dari firma sama, Amer Haiqal, berkata penyedia platform AI juga memikul tanggungjawab besar di bawah undang-undang Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa Seksyen 233(4) tidak hanya menyasarkan individu yang mencipta kandungan haram, malah pihak yang "membenarkan" perkhidmatan di bawah kawalan mereka digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.

"Di bawah subseksyen 233(4)(b), syarikat seperti xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan sekiranya mereka membenarkan teknologi mereka digunakan untuk menghasilkan komunikasi lucah bagi maksud komersial," katanya.

Menurut Amer Haiqal, kegagalan meletakkan pagar keselamatan atau penapis teknikal yang berkesan boleh menyebabkan syarikat terlibat berdepan denda sehingga RM1 juta seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 233(5).

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan SKMM menyekat Grok sebagai langkah pencegahan yang tepat bagi memastikan syarikat teknologi gergasi luar negara tidak mengabaikan undang-undang domestik semata-mata demi mengejar kemajuan teknologi.

Penguatkuasaan Seksyen 233(1) dan 233(4), katanya, membuktikan bahawa kedaulatan undang-undang Malaysia adalah mutlak dan wajib dipatuhi oleh semua pihak, termasuk pemain industri teknologi global.

"Langkah menyekat akses kepada Grok itu juga dilihat sebagai isyarat jelas bahawa ruang internet di Malaysia perlu kekal selamat, bersih dan terlindung daripada sebarang ancaman digital yang melampaui batas norma serta nilai masyarakat," tambahnya.

Pada 11 Januari lalu, MCMC memaklumkan tindakan menyekat sementara akses kepada AI Grok diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan.


#Elon Musk #AI Grok disekat #teknologi AI #MCMC