Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan membentangkan RMK13 hari ini – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Sekatan perjalanan: Fahmi Reza serah surat tuntutan

Umavathi Ramayah 14/06/2025 | 07:10 MYT
Fahmi Reza membuat tiga tuntutan menerusi surat tuntutan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza mengemukakan surat tuntutan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.


Ringkasan AI
  • Fahmi Reza kemuka surat tuntutan: Aktivis Fahmi Reza mengemukakan surat tuntutan kepada Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, dan Menteri Dalam Negeri berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya ketika cuba berlepas ke Singapura pada 7 Jun.
  • Tuntutan dan pertikaian undang-undang: Fahmi menuntut pampasan, penghapusan namanya daripada senarai sekatan, dan penghentian sekatan pergerakan. Peguamnya mendakwa tiada asas undang-undang untuk sekatan tersebut, serta wujud percanggahan maklumat dalam sistem Imigresen.
  • Reaksi dan tindakan susulan: Fahmi berkongsi perkara itu di media sosial dengan sindiran sinis, sementara Ketua Polis Negara sebelum ini menegaskan tiada sekatan rasmi dikenakan terhadapnya.


Surat bertarikh 13 Jun itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Yohendran Nadarajan, dengan menyatakan bahawa beliau dihalang daripada bergerak ke Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 7 Jun lalu.

Dalam surat itu, Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, membuat tiga tuntutan iaitu pihak bertanggungjawab memberi pampasan dengan jumlah yang akan ditentukan kemudian, namanya dikeluarkan daripada senarai itu dan sebarang sekatan pergerakan terhadapnya dihentikan.

Peguamnya, Yohendran, berkata tiada sebarang asas undang-undang untuk anak guamnya dimasukkan dalam senarai tersebut memandangkan pada tahun 2022, ketika Fahmi memperbaharui pasport, beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis bahawa namanya sudah dikeluarkan daripada senarai itu.

Menurutnya lagi, semakan di laman rasmi Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan maklumat bercanggah versi Bahasa Malaysia memaparkan terdapat sekatan pergerakan, manakala versi Bahasa Inggeris menunjukkan sebaliknya.

Malah, katanya, sehingga kini tiada mana-mana pihak yang tampil mengambil tanggungjawab terhadap pelanggaran hak ke atas anak guamnya itu.

Beliau turut menegaskan, sekiranya tiada sebarang maklum balas diterima dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tersebut, pihak mereka beranggapan bahawa Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Imigresen telah membuat keputusan untuk mengekalkan nama Fahmi dalam senarai berkenaan dan sekatan perjalanan masih berkuat kuasa.

Perkara itu dikongsi Fahmi menerusi akaun Facebooknya pada Sabtu.

Dalam perkongsian itu, Fahmi turut menyindir secara sinis apabila menyatakan bahawa ‘surat cinta pertama’ telah dihantar kepada Ketua Polis Negara, lengkap dengan ‘tiga lagu cinta untuk dijawab’, dipercayai merujuk kepada tiga tuntutan utama yang dikemukakannya dalam surat berkenaan.

"Surat cinta pertama sudah selamat ku hantar. Ku selitkan tiga lagu cinta untuk kamu jawab. Pecah kaca, pecah gelas, Sudah baca, harap balas," ujarnya.

Razarudin bagaimanapun sebelum ini menegaskan tiada sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi.



#Ketua Polis Negara #Fahmi Reza #surat tuntutan #terkini #sekatan perjalanan