MALAYSIA

Seketika di Cherok Tok Kun, PM Anwar merawat rindu yang membungkam

Astro Awani 20/07/2025 | 01:00 MYT
Anwar (tiga dari kanan) bersama adik-beradiknya duduk di meja makan di kediaman keluarga mereka di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada Sabtu. Turut serta isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan). - Gambar FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan tugas rasmi di Pulau Pinang pada Sabtu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mencuri’ seketika masanya yang padat dengan mengambil sejenak peluang untuk kembali ke tempat asalnya – sebuah rumah kecil di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam – tempat yang pernah menjadi seluruh dunianya semasa kecil.

Kepada Perdana Menteri, kediaman itu bukan sekadar struktur berdinding papan dan berlantaikan simen.

Sebaliknya, ia merupakan titik permulaan menimba pengalaman hidup, mengutip erti kasih sayang dan pengorbanan, serta membina impian yang akhirnya mencorak perjuangan dan halatuju hidupnya sebagai pemimpin negara.

“Rumah ini dulu sempit dan serba sederhana, tapi di sini kasih sayang membenih subur,” tulis beliau dalam hantaran di Facebook peribadinya.

Sehingga pukul 8.45 pagi, hantaran berkenaan dikongsi oleh 532 pengikut selain menerima lebih 17,000 tanda ‘like.’

Anwar memeluk abangnya, Idrus.


Kata Anwar, di kediaman itulah, beliau dan adik-beradiknya membesar, bermain tanpa rasa takut, menangis dan ketawa bersama, sambil menyaksikan jerih perih ibu bapa mereka yang tidak pernah lelah berusaha demi masa depan keluarga.

“Setiap sudut rumah menyimpan seribu cerita, lantainya saksi pada langkah-langkah kecil yang kini melonjak saya sejauh ini,” tulis Perdana Menteri dalam hantaran itu,

Menurut Anwar, rumah itu mengajarnya bahawa kehidupan bukan sekadar mengejar kejayaan, tetapi memaknakan perjuangan berlandaskan kasih, doa, dan pengorbanan.

Dalam kunjungan singkat itu juga, Anwar sempat memeluk abang dan adiknya Idrus dan Marzuki yang turut membesar bersamanya dalam rumah itu.

Momen itu, jelas beliau, membuat masa seolah terhenti.

“Ada rindu yang terubat, ada kenangan yang kembali mekar,” tulis Anwar dalam nada penuh emosi.

Pelukan itu bukan sekadar pelukan darah daging, tetapi pertautan memori yang membisikkan betapa jauhnya perjalanan hidup mereka yang bermula dari sebuah rumah kecil.

Bagi Anwar, sejauh mana pun beliau terbang meninggi, Cherok Tok Kun tetap menjadi akar kepada dirinya.

Rumah kecil itu adalah titik mula segala yang beliau perjuangkan hari ini: keadilan, maruah, dan cinta kepada rakyat.

“Ini asal saya – Cherok Tun Kun, Bukit Mertajam. Dan setiap kali kembali, hati ini terus-terusan diingatkan bahawa semua yang saya damba dan perjuangkan hari ini bermula dari rumah ini, dari keluarga ini, dari cinta kudus yang tidak pernah terpadamkan,” kata beliau lagi.




#Cherok Tok Kun #Bukit Mertajam #PM Anwar Ibrahim #PM balik kampung