MALAYSIA

Sekolah bercuti lima hari sempena Deepavali

Astro Awani 06/10/2025 | 23:35 MYT
Warga sekolah seluruh negara bakal menikmati cuti panjang sempena sambutan Deepavali tahun ini berikutan pengumuman cuti tambahan yang dibuat KPM. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Warga sekolah seluruh negara bakal menikmati cuti panjang sempena sambutan Deepavali tahun ini berikutan pengumuman cuti tambahan yang dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Deepavali atau Pesta Cahaya akan disambut pada Isnin, 20 Oktober ini.

Memetik Kalendar Akademik Sesi 2025/2026, cuti berkenaan diberikan kepada semua sekolah di seluruh negara kecuali Sarawak, bagi membolehkan murid dan guru menyambut perayaan itu bersama keluarga dan rakan terdekat.

Berikut jadual cuti tambahan yang diumumkan KPM seperti dikongsi dalam Kalendar Akademik Sesi 2025/2026:

1) Kumpulan A - Sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bercuti pada 19 Oktober (Ahad) dan 21 Oktober (Selasa).

2) Kumpulan B - Sekolah di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan bercuti pada 21 Oktober (Selasa) dan 22 Oktober (Rabu).

3) Sarawak pula diberikan cuti sehari pada 20 Oktober (Isnin).

Pengumuman yang dibuat KPM sekali gus memberi peluang kepada warga sekolah menikmati lima hari cuti berturut-turut bermula Sabtu hingga Rabu.





#Deepavali #cuti sekolah lima hari #cuti tambahan #Kementerian Pendidikan