Timbalan Menteri Pendidikan 1, P. Kamalanathan menafikan dakwaan bahawa sekolah vernakular menghalang perpaduan antara masyarakat di negara ini.

Selain menerima pelajar berbilang bangsa, tegasnya, pembelajaran di sekolah berkenaan banyak menekankan aspek-aspek perpaduan.

"Tidak. Itu tidak benar. Kalau nak hapuskan, kerajaan tidak akan memperuntukkan peruntukan yang banyak untuk membina sekolah-sekolah baru lagi.

"Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah legasi yang bermula sejak merdeka dan ia diteruskan," katanya semasa sidang media selepas melawat bangunan baru SJKT Sungai Renggam di sini, hari ini.

Menurutnya, apa yang penting ialah perancangan strategik untuk memupuk perpaduan di kalangan masyrakat.

"Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil aspek Rancangan Integrasi Murid-Murid (REMOTE). Ini akan kita tambah baik bagaimana nak pupuk perpaduan di antara anak-anak kita. Itu yang paling penting," tegas beliau.

"SJKT kita lihat pelajar bukan India pun masuk. Maka tiada halangan jika ada kemudahan untuk belajar , tidak kira siapa pun. SJKT ada pelajar Melayu, dan Cina dan kalau SJKC ada pelajar India, Melayu.

Justeru, beliau berharap semua pihak menumpukan kepada pelbagai program yang menggalakkan perpaduan daripada hanya menyalahkan sekolah vernakular.

"Maka kita akan pastikan program seumpama itu ditingkatkan agar mereka dapat memahami dengan lebih dekat. Itu hala tuju kita," katanya.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam turut senada dalam usahanya menggesa kerajaan menumpukan aspek perpaduan di peringkat sekolah menengah dan menolak sekerasnya cadangan menghapuskan sekolah vernakular.

"Kita kena lihat balik kelemahan di sekolah menengah supaya satu suasana (perpaduan) boleh diwujudkan supaya pelajar boleh bersatu-padu.

"Kita menyokong sebarang usaha kerajaan untuk tambahbaik perpaduan di peringkat menengah," ujarnya.

Dr Subramaniam yang merupakan Menteri Kesihatan itu bagaimanapun, mengakui kurikulum sekolah vernakular perlu ditambahbaik.

"Kurikulum dalam sekolah vernakular perlu ada ciri-ciri patriotisme supaya mereka yang keluar itu, walaupun bahasa yang lain, tetapi pengetahuan yang mereka dapat ialah yang menuju kepada perpaduan.

Saya lihat satu bahasa tidak menjadi halangan untuk perpaduan," katanya.