Sekolah vernakular kini jadi tarikan, suburkan perpaduan - Menteri Perpaduan

Irfan Faruqi
Ogos 30, 2023 13:33 MYT
Aaron berkata sekolah vernakular kini menjadi tarikan kepada sebahagian rakyat Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sekolah vernakular kini menjadi tarikan kepada sebahagian rakyat Malaysia yang telah melahirkan generasi baharu yang fasih lebih daripada sekadar bahasa kebangsaan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ini merupakan trend yang menarik dalam konteks perpaduan dalam negara.
“Kalau dahulu selalu dikatakan bahawa sekolah vernakular merupakan pemisah antara kaum; Melayu, Cina, India dan kaum di Semenanjung Malaysia, selepas kemerdekaan. Tetapi baru-baru ini, amat menarik kerana ada dapatan wacana yang menyatakan sekolah vernakular mendapat tarikan.
“Sekarang sudah ramai anak-anak muda yang fasih bahasa Cina dan India (sebagai bahasa kedua). Perlu diingat ketika penubuhan negara kita, kerajaan mengiktiraf semua kumpulan etnik, budaya dan agama, maka kita hidup dalam komuniti perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Agenda AWANI: Agenda Perpaduan Negara
Aaron turut menyentuh mengenai rancangan Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kali ketiga tahun ini bagi menilai tahap perpaduan masyarakat berbilang kaum dalam negara.
Beliau berkata berdasarkan IPNas yang dilaksanakan bersama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2022, terdapat peningkatan tahap perpaduan negara kepada 0.62 berbanding 0.57 pada 2018.
#Agenda Awani #perpaduan #kementerian perpaduan negara #sekolah vernakular