MALAYSIA

Sektor akuakultur sumbang RM910 juta pada 2024, pemacu ekonomi perikanan Perak - DoF

Bernama 19/10/2025 | 21:00 MYT
Meurut Mohd Ghazali, sektor akuakultur melibatkan 1,342 pengusaha berdaftar di negeri Perak. - Gambar Bernama
KUALA KANGSAR: Sektor akuakultur merupakan penyumbang kedua terbesar bagi pengeluaran perikanan Perak meliputi 14.92 peratus atau 76,804 tan metrik pengeluaran keseluruhan sektor perikanan negeri pada tahun lepas dengan merekodkan nilai RM910 juta.

Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali Abdul Manap berkata, ia melibatkan 1,342 pengusaha berdaftar di negeri ini.

"Aktiviti ini bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan, malah turut membuka peluang pekerjaan dan ekonomi kepada masyarakat daripada pelbagai latar.

"Sektor ini perlu lebih diperkasakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan laut selain meningkatkan eksport produk tempatan," katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Fiesta Ikan Perak 2025, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, dalam sektor akuakultur, sambutan terhadap ternakan ikan air tawar dan produk hiliran berasaskan perikanan menunjukkan potensi besar untuk diteroka, khususnya dalam kalangan usahawan luar bandar dan generasi muda.

"Kerjasama erat antara penternak, komuniti perikanan dan pihak kerajaan amat penting bagi menjamin pembangunan industri yang mampan serta berdaya saing," katanya.

Mengenai Fiesta Ikan Perak 2025, Mohd Ghazali berkata ia menghimpunkan tiga program utama melibatkan Karnival Usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Tengah, Program Rasa-Rasa Akuakultur serta Finale Grand Prix Memburu Ikan Asing 2025.

"Program dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 18 Okt hingga 19 Okt 2025. Tujuan kita menganjurkan fiesta ini adalah untuk mempromosi hasil perikanan negeri serta memperkukuh ekonomi biru Perak," katanya.

-- BERNAMA


#akuakultur #jana pendapatan #perikanan #Perak #jabatan perikanan