[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Sektor pembinaan Malaysia tumbuh 12.9 peratus, nilai kerja cecah RM43.9 bilion

Bernama 11/08/2025 | 14:15 MYT
Mohd Uzir berkata sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan sektor pembinaan dengan menyumbang sebanyak RM28.2 bilion atau 64.2 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan Malaysia mengekalkan pertumbuhan kukuh sebanyak 12.9 peratus pada suku kedua 2025 dengan nilai kerja-kerja mencecah RM43.9 bilion pada tempoh sama, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu didorong oleh pengembangan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman, masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit ketara sebanyak 22.2 peratus dan 16.2 peratus.

"Subsektor bangunan kediaman turut menyumbang menerusi pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 13.9 peratus.

"Selain itu, subsektor kejuruteraan awam mengekalkan trend positif dengan pertumbuhan marginal sebanyak 7.5 peratus," katanya menerusi kenyataan Statistik Pembinaan Suku Tahunan Malaysia bagi Suku Kedua 2025, hari ini.

Mohd Uzir berkata daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM43.9 bilion pada suku kedua 2025, sejumlah RM16.3 bilion atau 37.1 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutama dalam aktiviti pembinaan projek utiliti (RM8.1 bilion) serta dan jalan raya dan landasan kereta api (RM6.5 bilion).

Nilai kerja bagi subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing menyumbang RM12.4 bilion (28.2 peratus) dan RM10.0 bilion (22.8 peratus).

"Di samping itu, aktiviti pertukangan khas adalah sebanyak RM5.2 bilion (11.9 peratus terutama dalam aktiviti penyediaan tapak (RM1.5 bilion), pemasangan elektrik (RM1.2 bilion) dan pemasangan paip serta pemanasan dan penyaman udara (RM1.1 bilion)," katanya.

Mohd Uzir berkata sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan sektor pembinaan dengan menyumbang sebanyak RM28.2 bilion atau 64.2 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan.

Sektor swasta juga mengekalkan momentum pertumbuhan dua digit sebanyak 19.3 peratus (suku pertama 2025: 23.7 peratus), didorong oleh prestasi kukuh dalam subsektor bangunan bukan kediaman (23.7 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (22.8 peratus).

"Nilai kerja oleh sektor awam mencatatkan peningkatan sebanyak 3.1 peratus (suku pertama 2025: 6.3 peratus) kepada RM15.7 bilion (sumbangan : 35.8 peratus), dipacu terutamanya oleh subsektor aktiviti pertukangan khas dengan pertumbuhan sebanyak 20.8 peratus," katanya.

Dari segi prestasi negeri-negeri, beliau berkata hampir 61.1 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Nilai pembinaan di Selangor berjumlah RM9.7 bilion atau 22.2 peratus, disumbangkan oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.2 bilion) dan diikuti oleh subsektor bangunan kediaman (RM2.9 bilion) dan subsektor kejuruteraan awam (RM2.4 bilion).

Beliau berkata ini diikuti oleh Johor di tempat kedua dengan nilai RM7.7 bilion atau 17.5 peratus, terutamanya dalam subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.4 bilion).

"Pada masa sama, nilai kerja di Sarawak adalah RM5.2 bilion (11.9 peratus) manakala Wilayah Persekutuan mencatatkan RM4.2 bilion (9.5 peratus)," katanya.

Merumuskan prestasi nilai kerja pembinaan bagi separuh pertama 2025, Mohd Uzir berkata sektor terbabit mencatatkan nilai sebanyak RM86.8 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 14.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2024 (suku pertama 2024 hingga suku kedua 2024: 17.2).

Pertumbuhan itu didorong oleh prestasi positif dalam semua subsektor, terutamanya aktiviti pertukangan khas (28.3 peratus) dan bangunan kediaman (20.0 peratus), katanya.

-- BERNAMA


#Jabatan Perangkaan Malaysia #landasan kereta api #aktiviti pertukangan #bangunan kediaman