Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
NATIONAL

Sektor pusat data boleh mendorong Malaysia jadi negara teknologi - Liew

Bernama 08/05/2025 | 20:45 MYT
Liew berharap Malaysia dapat mewujudkan konsensus yang menyeluruh dalam kalangan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sektor pusat data mencapai tiga objektif utama. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sektor pusat data boleh menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk muncul sebagai negara teknologi, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, pusat data boleh menjadi pengguna terbesar untuk memperkukuh teknologi Malaysia, membantu negara mencapai aspirasi peralihan industri dan tenaga dengan mengguna pakai pendekatan pelaburan "keseluruhan rantaian nilai."

"Walaupun pusat data bukan baharu di Malaysia, idea untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data yang memenuhi bukan sahaja penggunaan domestik malah permintaan luar negara, adalah sesuatu yang agak baharu.

"Gelombang baharu ini hanya mula mencatat lonjakan ketara pada 2021 berikutan penyertaan pemain hiperskala dan ekosistem di sekitarnya," katanya ketika berucap pada program Data Centre Nexus 2025, di sini, pada Khamis.

Liew berharap Malaysia dapat mewujudkan konsensus yang menyeluruh dalam kalangan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sektor pusat data mencapai tiga objektif utama.

Menurutnya, objektif pertama adalah untuk sektor ini berkembang secara mampan dari segi kewangan dan alam sekitar.

"Objektif kedua bertujuan membolehkan pertumbuhan 'keseluruhan rantaian nilai' -- daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada rantaian bekalan peralatan tempatan sehingga kepada sektor perkhidmatan kukuh yang membangunkan kepakaran dalam pembinaan dan penyelenggaraan pusat data.

"Objektif ketiga supaya pembangunan sektor ini memberi manfaat maksimum kepada Malaysia dan rakyatnya serta mengekalkan sokongan meluas daripada masyarakat untuk sektor itu," katanya.

Liew berkata, Malaysia telah menarik pelaburan digital sebanyak RM278 bilion sejak 2021 hingga Disember 2024, dengan RM184.7 bilion daripadanya diperuntukkan untuk projek berkaitan pusat data, termasuk pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data dan sebagainya.

Beliau turut menggariskan tiga misi utama yang boleh menjadi tumpuan sektor pusat data.

"Pertama, meneraju peralihan tenaga berikutan dunia beralih daripada arang batu kepada sumber pelepasan rendah karbon dalam penjanaan tenaga.

"Di Malaysia, peralihan tenaga berlaku lebih perlahan berbanding negara lain. Sebagai faktor terpenting dalam pertumbuhan permintaan tenaga, saya ingin menyaksikan sektor pusat data menjadi pengguna paling dinamik dalam penggunaan TBB di Malaysia," katanya.

Kedua, Liew menekankan keperluan pelaburan dalam rantaian bekalan peralatan tempatan di Malaysia serta keperluan mendesak untuk memartabatkannya di peringkat tempatan.

"Atas pelbagai sebab, saya amat yakin apabila sektor pusat data sebagai pengguna utama, kita boleh membina rantaian bekalan yang tidak bergantung kepada Amerika Syarikat atau China dan akhirnya boleh berkhidmat untuk pasaran global.

"Saya ingin melihat sektor pusat data melabur secara bersama ke arah membina era 'Buatan Malaysia'. Lebih banyak hubungan horizontal antara sektor pusat data dan industri semikonduktor adalah sesuatu yang saya berharap dapat dibangunkan secepat mungkin," katanya.

Liew berkata, misi ketiga adalah untuk mewujudkan pekerjaan dalam perkhidmatan pusat data bagi rakyat Malaysia dan rantau ini.

"Berikutan semakin banyak pusat data dibina di Malaysia, kami ingin melihat usaha bersepadu untuk melahirkan generasi baharu jurutera dalam bidang pembinaan, penyelenggaraan dan operasi pusat data," katanya.

"Saya ingin menyaksikan lebih banyak penekanan diberikan terhadap penciptaan pekerjaan merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor pusat data," katanya.

-- BERNAMA






#gelombang baharu #pusat data #rantaian bekalan #semikonduktor