Sektor swasta perlu ikut langkah kerajaan naik gaji pekerja - PM Anwar

Zikri Halim
Mei 1, 2024 03:50 MYT
Anwar (tengah) ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan sektor swasta untuk mengikut langkah yang sama dibuat kerajaan bagi menaikkan gaji pekerja mereka.
Ia susulan pengumuman Anwar menaikkan kadar gaji penjawat awam kepada kebih 13 peratus bagi memperkasakan kesejahteraan pekerja.
Nasihat itu, menurutnya, ditumpukan kepada sektor swasta yang telah mendapat banyak faedah daripada insentif kerajaan terhadap kebajikan pekerja.
"Walaupun keputusan saya hari ini menyentuh penjawat awam, saya mahu mesej ini jelas kepada sektor swasta yang mencatat untung yang baik, sama ada bank atau syarikat, yang mendapat faedah sedikit sebanyak (daripada) Kerajaan.
"Apa yang saya umumkan hari ini perlu didengar oleh sektor swasta supaya swasta dapat memberi layanan yang sewajarnya (kepada pekerja)," tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, pada Rabu.
#Anwar Ibrahim #sektor swasta #gaji pekerja #insentif kerajaan