Sekumpulan penceroboh daripada kepulauan Sulu ke Sabah dikesan cuba memasuki negara ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan perkara itu berkata, ia berdasarkan hasil maklumat risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pihaknya percaya kemasukan itu bertujuan mewujudkan kekacauan di bahagian timur Sabah pada hari pengundian 5 Mei ini.

Bagaimanapun menurut Ahmad Zahid kesemua 35 penceroboh itu di tembak mati dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan pihak tentera laut Filipina.

“Dari maklumat yang diperolehi ada sekumpulan lagi dikalangan mereka yang akan masuki Sabah, tetapi atas tindakan cepat PM mewujudkan Esscom dan memperluaskan kawasan kepada Ezzone dan 1400 di timur Sabah telah meyekat kemasukan mereka ini,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita.

Ucapan penghargaan dirakamkan ke atas angkatan tentera khususnya Tentera Laut Filipina dan pengawal pantai Filipina yang berkerjasama erat dengan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkis ancaman itu.

Ahmad Zahid yang ditemui selepas majlis ramah mesra bersama warga ATM di Bayan Lepas.

Beliau diminta mengulas kejayaan Tentera Laut Filipina merampas senjata api dan peluru dari 35 orang yang disyaki pengikut kesultanan sulu ketika cuba berada di sekitar Pulau Andolingan di Tawi-Tawi pada Rabu.

Sementara itu, mengulas mengenai Laksamana Pertama (bersara) Datuk Mohd Imran Abd Hamid yang tidak dibenarkan masuk menunaikan solat di masjid di pengkalan tentera laut di Lumut, beliau berkata sememangnya calon PKR itu dilarang masuk kerana mahu berkempen.

Mohd Imran bertanding merebut kerusi Parlimen Lumut pada PRU13 berdepan penyandang kerusi itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Choo Ha.