Sekumpulan warga emas berjaya diselamatkan daripada kebakaran

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 12, 2020 16:09 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran melibatkan tiga buah bangunan kedai dua tingkat di Lebuh Carnavon kira-kira 9 malam, Rabu. - Foto BERNAMA
Tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan sekumpulan warga emas dari terlibat dalam kebakaran di Lebuh Carnarvon, George Town pada Rabu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, insiden yang melibatkan tiga rumah kedai dua tingkat itu berlaku kira-kira jam 8.58 malam.
Dalam kejadian terbabit, orang ramai dilapor bertindak mengangkat warga emas ke kawasan lapang berhampiran kerana bimbang api kebakaran merebak ke rumah kebajikan itu.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 malam dan bergegas ke lokasi bagi mengawal api daripada merebak ke rumah kebajikan yang berada pada jarak enam meter dari lokasi kebakaran.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal pada jam 9.24 malam.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM Pulau Pinang #kebakaran #Lebuh Carnarvon #rumah kebajikan #warga emas