Selain hukuman tegas, penghina agama perlu jalani sesi kaunseling - ABIM

Bernama
Mac 13, 2019 12:18 MYT
ABIM mencadangkan khidmat kaunseling dan nasihat diberikan kepada pesalah penghina agama selain hukuman undang-undang. - Gambar hiasan
Angkatan Belia Malaysia (ABIM) mencadangkan khidmat kaunseling dan nasihat oleh golongan pakar yang dilantik pihak berkuasa perlu diberikan kepada pesalah penghina agama selain hukuman undang-undang
Presiden ABIM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata proses itu perlu dijadikan sebahagian daripada perkara wajib dijalani oleh mereka yang didapati bersalah agar hukuman yang dikenakan dapat membawa kesan positif kepada individu berkenaan dan masyarakat.
Belia berkata ABIM yakin menerusi penambahan proses penjelasan berupa nasihat dan kaunseling akan dapat menangani kes penghinaan agama daripada terus berleluasa untuk jangka panjang.
"Ini termasuk proses kaunseling dan nasihat oleh golongan pakar yang dilantik pihak berkuasa bagi memastikan kes-kes penghinaan agama yang berpunca daripada salah faham dapat ditangani sebaiknya.
"Justeru, elemen-elemen sebegini harus dijalankan secara selari bersama dengan hukuman di bawah undang-undang Malaysia seperti Seksyen 298A(1) Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad Raimi berkata ABIM pada masa sama turut menyokong cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mahu Kanun Keseksaan (Akta 574) dipinda pada sesi Parlimen kali ini bagi memberi hukuman lebih tegas kepada penghina agama.
Usaha itu perlu melihat kepada kes-kes penghinaan agama yang berleluasa khususnya di media sosial yang dikhuatiri menyemarakkan perpecahan agama dan kaum dalam negara, katanya.
- BERNAMA
#ABIM #Angkatan Belia Malaysia #khidmat kaunseling dan nasihat #Mohamad Raimi Ab Rahim #Mujahid Yusof Rawa #pesalah penghina agama #Seksyen 298A 1 Kanun Keseksaan