KUALA TERENGGANU: Jenazah bekas calon Bebas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13, Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun selamat dikebumikan pada pukul 10.45 pagi pada Isnin.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Atas Tol di sini, sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol.

Allahyarham Maimun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sungai Atas Tol sekitar pukul 3.30 petang Ahad akibat sakit tua pada usia 103 tahun.

Pemergian Maimun disedari anak saudaranya sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain.

Nama Maimun sebelum ini dikenali kerana merupakan calon tertua yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU12.

Bagaimanapun, nenek kepada tujuh cucu itu hilang wang pertaruhan setelah meraih hanya 685 undi ketika menentang Mohamad Sabu (Pas) dan Allahyarham Datuk Razali Ismail (Barisan Nasional).

Tidak terhenti setakat itu, Maimun sekali lagi menjadi calon Bebas di kerusi sama pada PRU13 ketika berusia 94 tahun, namun, menerima nasib sama.

Malah hasratnya untuk bertanding pada PRU14 tidak menjadi kenyataan kerana tidak mempunyai wang pertaruhan.