NATIONAL
“Selamat Hari Raya” - Ismail Sabri keluar dari SPRM selepas 5 jam rakam keterangan
Ismail Sabri melambai kepada kumpulan wartawan yang berkampung di luar bangunan SPRM. - Gambar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, pada pukul 3.05 petang selepas memberi keterangan selama kira-kira lima jam pada Isnin.
Ringkasan AI
- Ismail Sabri memberi keterangan selama lima jam di Ibu Pejabat SPRM berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, dan masih tiada maklumat lanjut mengenai status siasatan.
- Siasatan SPRM dilancarkan susulan penemuan wang tunai dan jongkong emas berjumlah RM177 juta dalam serbuan di tiga premis, termasuk 'safe house' milik bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
- Proses merakam keterangan dijangka membabitkan beberapa sesi lagi sebelum boleh dinoktahkan, dan beberapa individu lain masih perlu dipanggil untuk siasatan.
Ketika meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat SPRM, Ismail Sabri sempat menurunkan tingkap kereta dan menyantuni kumpulan wartawan yang berkampung di luar bangunan itu.
“Selamat Hari Raya,” ujar Ismail Sabri secara bersahaja sambil melambai kepada petugas media.
Beliau berkata sedemikian ketika ditanya kumpulan wartawan sekiranya proses merakam keterangan akan disambung pada keesokan hari.
Setakat ini masih belum ada maklumat daripada pihak SPRM mengenai status siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu tiba dengan menaiki kereta jenis Vellfire berwarna hitam pada pukul 9.54 pagi untuk hari keenam memberikan keterangan.
Untuk rekod, siasatan SPRM ke atas Ismail Sabri dilancarkan susulan penemuan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas yang secara keseluruhan berjumlah RM177 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah 'safe house' di sekitar ibu negara milik bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri mentadbir kerajaan dari 2021 hingga 2022.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada minggu lalu berkata, proses merakam keterangan Ismail Sabri dijangka membabitkan beberapa sesi lagi sebelum boleh dinoktahkan.
Mengenai kemungkinan pendakwaan ke atas Ismail Sabri, beliau berkata masih ada beberapa individu lain yang perlu dipanggil untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, seorang pengurup wang ditahan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram kes Ismail Sabri.
Suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan untuk menerima rawatan doktor selepas mengadu sakit jantung.