MALAYSIA

Selangor akan dapatkan pakar untuk rangka polisi baharu elak kebakaran paip gas

Bernama 01/07/2025 | 07:22 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia merupakan proses pembelajaran dan tindakan susulan perlu diambil susulan insiden itu. - Foto Bernama
HULU LANGAT: Kerajaan Negeri Selangor akan mendapatkan beberapa pakar dalam pelbagai aspek, termasuk perundangan, bagi merangka polisi baharu khusus untuk mengelak kejadian seumpama kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas, berulang.

Ringkasan AI
  • Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi merangka langkah pencegahan jangka panjang, termasuk cadangan perundangan baharu seperti undang-undang kecil, syarat OSC, enakmen atau akta, bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
  • Jawatankuasa ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, Petronas dan agensi teknikal seperti PDRM dan JKKP, yang telah melengkapkan siasatan teknikal pada 26 Jun 2025.
  • Insiden 1 April 2025 menyebabkan kerosakan besar kepada 219 rumah, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya dan 81 lagi separa musnah; laporan siasatan mengenal pasti faktor tanah lemah sebagai punca utama, bukan unsur sabotaj atau kecuaian.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia merupakan proses pembelajaran dan tindakan susulan yang perlu diambil susulan insiden berkenaan.
"Itu salah satu daripada terma rujukan ataupun satu antara tugas-tugas jawatan kuasa khas berkenaan, untuk melihat sudut ataupun bingkai perundangan yang boleh dikuatkuasakan.
"Perundangan itu dalam pelbagai peringkat. Ia boleh jadi undang-undang kecil, ia boleh juga menjadi syarat baru dalam unit pusat setempat (OSC), ia boleh juga menjadi enakmen dan juga boleh jadi akta," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Amirudin berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum kerjasama bersama tiga rakan strategik iaitu Universiti Selangor, Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) serta Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) untuk memperkukuh usaha pembangunan ekosistem industri air.
Semalam beliau dilaporkan berkata Selangor akan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi meneliti laporan berhubung kebakaran paip gas itu dan merangka langkah jangka panjang, di samping mencadangkan peraturan-peraturan baharu dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang.
Jawatankuasa itu akan membabitkan petugas kerajaan negeri, Persekutuan, Petronas serta agensi-agensi teknikal berkaitan, yang akan meneliti hasil siasatan lengkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada 26 Jun lepas berhubung insiden kebakaran itu.
Insiden kebakaran pada 1 April lepas mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
-- BERNAMA
#kebakaran paip gas #Putra Heights #Amirudin Shari #rangka polisi baharu