[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

Selangor berhasrat perluas operasi aeroangkasa dan penerbangan di wilayahnya

Bernama 09/10/2025 | 20:00 MYT
Kerajaan negeri Selangor sedang mempergiatkan usaha untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan tempatan, kata Amirudin. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor sedang mempergiatkan usaha untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan tempatan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menempatkan sehingga 70 peratus operasi aeroangkasa dan penerbangan negara di negeri berkenaan.

Jelasnya, Selangor kini menjadi tempat bagi operasi aeroangkasa dan penerbangan terbesar dengan kira-kira 67 peratus penguasaan pasaran susulan pelancaran terbaharu Selangor Aero Park (SAP) seluas 242.811 hektar berhampiran Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Amirudin turut memberitahu, pembangunan SAP mencatatkan kadar penghunian yang kukuh oleh industri apabila setakat ini, sejumlah 40.47 hektar daripada taman tersebut sudah pun diduduki.

"Daripada promosi yang kami jalankan di Pameran Udara Antarabangsa Paris baru-baru ini, kami yakin 80.9371 hektar pertama daripada 242.811 hektar yang diperuntukkan dapat ditempah dan disiapkan menjelang penghujung tahun ini atau sekurang-kurangnya pada suku pertama 2026," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama pemain industri dan pakar pada Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) 2025 yang diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2025, pada Khamis.

Amirudin menambah, kerajaan negeri sedang meneroka peluang lain bagi mempertingkatkan industri aeroangkasa serta penerbangan di Selangor dengan memberi tumpuan kepada potensi teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) dan dron.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan 404.686 hektar di Kuala Selangor iaitu bersebelahan dengan kampus Universiti Selangor (UNISEL) bagi tujuan membangunkan sebuah pusat kecemerlangan dron.

"Mungkin kita boleh menjadi pemain utama dalam teknologi dron di Asia Tenggara dan antara lima pemain teratas di Asia dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Melangkah ke hadapan, Amirudin percaya hala tuju bagi industri aeroangkasa dan penerbangan di negeri ini iaitu untuk melihat lebih daripada sekadar pembinaan kemudahan pembuatan serta ekosistem penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

"Hala tuju yang pasti bukan hanya pada pembuatan kerana pembangunan modal insan juga merupakan satu daripada tumpuan kami untuk kelestarian industri dan ekosistem.

"Bukan sahaja kemudahan MRO atau pembuatan yang akan dibuka di SAP, kami juga sedang merancang untuk membina sekolah dan pusat latihan bagi melatih modal insan kami untuk industri ini," katanya.

-- BERNAMA




#Selangor #operasi aeroangkasa #Selangor Aero Park SAP #Amirudin Shari