MALAYSIA

Selangor beri geran RM400,000 bantu taska enggan terima bayi bawah setahun

Sinar Harian 26/09/2025 | 04:40 MYT
Anfaal ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Mydin Mart Olak Lempit, hari ini. - Foto Sinar Harian
BANTING: Kerajaan Selangor akan memperkukuh bantuan melalui geran pusat jagaan bernilai RM400,000 bagi membantu pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) yang terkesan dengan isu enggan menerima bayi bawah setahun.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, pihaknya telah menyampaikan perkara itu kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad susulan kebimbangan ibu bapa terhadap situasi berkenaan.

"Saya menyatakan hasrat bahawa perlu untuk pihak kementerian mengkaji keperluan memberikan subsidi kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Mydin Mart Olak Lempit di sini pada Jumaat.

Anfaal memberitahu, langkah itu penting kerana ia mungkin akan memberi kesan kewangan kepada pengusaha taska.

"Kita perlu ambil kira bukan sahaja tentang keselamatan tetapi dari segi perniagaan dan kualiti juga," jelas beliau.

Menurut Anfaal, kementerian sedang menjalankan kajian mengenai impak pelaksanaan gaji minimum RM1,700 yang berkuat kuasa Ogos lalu, namun hasil akhir kajian itu masih belum diperoleh.

"Di peringkat negeri, langkah segera adalah mengaktifkan semula geran pusat jagaan bagi memastikan lebih banyak taska berdaftar dapat beroperasi dengan baik," jelas beliau.

Beliau menegaskan, sebarang keputusan berhubung polisi berkaitan perlu disandarkan kepada data dan fakta agar penyelesaian lebih tepat dapat dicapai.

"Geran pusat jagaan dengan dana RM400,000 ini akan kita usahakan untuk lebih aktif membantu pengusaha yang memerlukan bagi memastikan operasi mereka sah dan berdaftar,” katanya. - Sinar Harian





#taska #bayi #taska enggan terima bayi bawah setahun #Anfaal Saari #Selangor