Selangor cadang lanjutkan TMS 2025, seiring Tahun Melawat Malaysia 2026

Ng (tengah) bergambar bersama para penerima sijil anugerah produk ikonik Tourism Selangor 2024 pada Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam Tahun 2025 di Klang, 4 Nov 2025. -- fotoBERNAMA
KLANG: Kerajaan Selangor bercadang melanjutkan Kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 hingga ke tahun hadapan dalam usaha mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri berkenaan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor bercadang melanjutkan Kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 hingga tahun hadapan untuk mempromosikan tempat menarik di negeri itu dan seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
- Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, menekankan peranan Selangor sebagai laluan masuk utama pelancongan ke Malaysia dan perlu usaha kukuh untuk memastikan kemajuan negeri tersebut.
- Program Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) memberi peluang kepada komuniti untuk mempamerkan keindahan semula jadi, warisan budaya, dan pengalaman desa di Selangor, serta menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam sektor pelancongan.
"Sempena dengan TMM 2026, kami juga akan lanjutkan (TMS 2026). Ini akan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor supaya kami seiring dengan TMM 2026.
"Ini adalah kerana Selangor memainkan peranan penting dalam memastikan bilangan kedatangan pelancongan domestik dan antarabangsa ke Malaysia. Selangor adalah laluan masuk ke Malaysia. Jadi, kami kena usaha kuat untuk pastikan Selangor bersama maju ke hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam Tahun 2025 di sini pada Selasa, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling.
Ng berkata HKSS memainkan peranan penting sebagai duta kecil dalam memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan sektor itu sebagai pemacu ekonomi agropelancongan khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam perkembangan lain, Ng bercadang bertemu dengan pengusaha inap desa di seluruh negeri bagi memberi penerangan berhubung proses pemutihan inap desa dan rumah tumpangan yang beroperasi tanpa lesen dan tidak sah.
Beliau berkata langkah berkenaan bagi memastikan perusahaan itu dilaksanakan secara teratur dan mematuhi undang-undang serta syarat yang digariskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, Ng berkata kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa di bawah Tourism Selangor bagi melakukan proses persediaan untuk mengiktiraf Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Terdahulu, sebanyak 49 peserta program HKSS dari daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam diraikan sempena majlis berkenaan, manakala 18 syarikat dan individu menerima Anugerah Produk Ikonik Selangor 2024 serta sembilan syarikat menerima Sijil Penyertaan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA).
Para graduan itu berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan dan diberikan sijil penghargaan daripada Tourism Selangor setelah melalui latihan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan MOTAC.
Sepanjang latihan itu, peserta didedahkan dengan empat modul utama iaitu pemetaan aset warisan, aktiviti interpretasi, perkhidmatan hosting pelawat dan kelangsungan kerjaya hos komuniti.
Dilancarkan pada 2018, program HKSS mendapat sokongan penuh daripada pihak berkuasa tempatan, termasuk Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam dan ia memberi peluang kepada komuniti untuk mempamerkan keindahan semula jadi, warisan budaya dan pengalaman desa di Selangor, daripada sawah padi di Sekinchan hingga ke kelip-kelip di Kampung Kuantan.
Seorang peserta HKSS Ummi Nabilah Shafry, 32, berkata menerusi program itu, beliau diajar cara untuk mempromosikan Selangor serta produk dan keunikan setempat yang tidak diketahui orang ramai.
Bagi Choo Siew Joon, 55, program itu membantu mereka untuk menambah ilmu pengetahuan berhubung keunikan setempat serta modul yang disediakan sangat menarik kerana ia membantu pengusaha lebih kreatif dalam mencari tempat yang menarik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


