Skip to main content

Malaysia

Selangor kaji kebolehlaksanaan loji penyahgaraman air laut untuk sumber air bersih

41699857059_MonsunTimurLaut.jpg
Selangor sedang mengkaji kebolehlaksanaan loji penyahgaraman air laut dalam memastikan kemampanan sumber air bersih di negeri itu. - Gambar hiasan

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji kebolehlaksanaan loji penyahgaraman air laut dalam memastikan kemampanan sumber air bersih di negeri itu, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Datuk Izham Hashim. 

Beliau berkata pembinaan infrastruktur terbabit mampu menambah kapasiti pengeluaran air bersih  hingga kira-kira 300 juta liter sehari (JHL). 

Advertisement

“… ada dua tempat yang telahpun dicadangkan namun kita akan buat keputusan yang muktamad dari segi teknikal, strategi dan kos iaitu kewajaran dari aspek bisnesnya itu,” katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang ingin tahu kebolehlaksanaan infrastruktur berkenaan serta impak terhadap kos perkhidmatan dan tarif air jika ia diperkenalkan. 

Izham berkata margin rizab bekalan air semasa Selangor berada sekitar 17.4 peratus atau 1,130 JLH, manakala jumlah keupayaan pengeluaran air bersih daripada kesemua 34 Loji Rawatan Air (LRA) ialah pada 6,500 JLH dengan jumlah purata pemintaan air sebenar pada 5,370 JLH. 

Beliau berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd turut menjangkakan keperluan peratusan kapasiti simpanan air tahunan meningkat kira-kira 20 peratus dalam masa lima tahun akan datang.  

“Rizab air Selangor dikategorikan sebagai tinggi menurut panduan margin rizab ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) iaitu melebihi 15 peratus,” katanya. 

 “Empat LRA yang sedang dan akan dibina ialah LRA Rasau peringkat 1 dengan penghasilan 700 JLH  dijangka siap awal 2027, LRA rasau peringkat 2 (700JLH) siap pada 2031, LRA Labohan Dagang fasa 2 (200 JLH) siap pada 2029 dan LRA Langat 2 fasa 2 (760 JLH) siap pada 2030,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

Must Watch Video