Skip to main content

Malaysia

Selangor komited dedah data WTE, tingkat ketelusan operasi loji Jeram - Amirudin

[TB]_Amirudin WTE_ASTRO AWANI
Amirudin (tiga, kiri) pada majlis perasmian operasi WTE1 di ISWMC Jeram, pada Jumaat. -Foto Astro AWANI

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor bersedia mendedahkan data pelepasan dan operasi Loji Sisa ke Tenaga (Waste-to-Energy, WTE) kepada orang ramai sebagai langkah meningkatkan ketelusan serta keyakinan masyarakat terhadap teknologi berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri tidak berdepan masalah untuk berkongsi maklumat berkaitan prestasi loji, termasuk pematuhan kepada piawaian alam sekitar.

Menurutnya, operasi WTE1 di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram dipantau mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pelepasan berada pada tahap selamat.

“Kita sangat telus dan komited untuk memenuhi semua kriteria yang ditetapkan sebaik mungkin.

“Setakat bulan pertama operasi, penjanaan tenaga hampir mencapai 100 peratus kapasiti, manakala kawalan alam sekitar turut memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan operasi WTE1 di ISWMC Jeram, di sini, pada Jumaat.

Projek tersebut dibangunkan oleh Worldwide Holdings Berhad (WHB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kemudahan berkenaan mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 13 Mei lalu dan mampu memproses sehingga 1,500 tan sisa pepejal setiap hari serta menjana sehingga 26 megawatt (MW) tenaga elektrik.

Menurut Amirudin, tenaga yang dijana mampu membekalkan keperluan elektrik kepada sekurang-kurangnya 26,000 isi rumah, bergantung kepada corak penggunaan.

WTE1 merupakan loji pertama di bawah Kemudahan Sisa ke Tenaga Jeram.

Pembinaan WTE2 kini sedang dijalankan, dan apabila siap kelak, kompleks tersebut dijangka menjadi yang terbesar di negara ini.

Amirudin turut memaklumkan bahawa data operasi dan pelepasan loji dipantau secara langsung oleh JAS menerusi sistem pemantauan yang disambungkan terus kepada agensi berkenaan.

Katanya, pemantauan berterusan itu membolehkan pihak berkuasa menilai tahap pematuhan loji terhadap syarat alam sekitar, termasuk kawalan pelepasan debu dan dioksin.

“Maklumat di pusat kawalan dihantar secara langsung kepada JAS dan mereka sentiasa memantau tahap kecekapan kawalan alam sekitar yang dilaksanakan.

“Semua keperluan JAS dipatuhi, dan setakat ini bacaan yang direkodkan berada pada tahap baik,” jelasnya.

Beliau menambah, perkembangan teknologi semasa menjadikan sistem WTE sebagai salah satu penyelesaian mampan dalam pengurusan sisa pepejal tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan awam.

“Keselamatan operasi serta pematuhan terhadap piawaian  alam sekitar akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan kemudahan ini beroperasi secara cekap dan selamat dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, media pada 14 November lalu  melaporkan u bahawa lebih 12,000 borang bantahan telah diserahkan kepada JAS berhubung cadangan projek WTE di Batu Arang.

Namun, sehingga kini, penduduk masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa.

Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) bersama Hand-in-Hand Batu Arang menyatakan bahawa projek tersebut menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan alam sekitar serta masa depan komuniti setempat.

 

Must Watch Video

Advertisement