KUALA LUMPUR: Syarikat berstatus ISO 9001, Israk Solutions Sdn Bhd optimis menjalinkan kerjasama membangunkan sektor pendidikan khususnya di Selangor.

Ia seiring dengan usaha serta komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasa pendidikan dan membina hubungan sinergi antara sektor berkenaan dengan industri teknologi memberi impak positif kepada masa depan pendidikan negara.

Ini terbukti dengan peningkatan prestasi secara keseluruhan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022.

Antara kerjasama terkini yang harus diberi galakan adalah di antara Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Selangor (SSTP) dengan syarikat terbabit.

Dalam kerjasama dicetuskan, Israk Solutions berperanan sebagai perunding pakar teknologi maklumat dan turut menyediakan program latihan yang dikenali sebagai Arvia Certified Educator (ACE).

Menurut Pengarah Urusan Israk Solutions Sdn Bhd, Ahmad Najib Habeb berkata, program berkala itu direka khas bagi memberi peluang kepada guru dan pendidik untuk belajar, mengalami, dan mengaplikasikan penggunaan alat bantu mengajar.

“Terutamanya penggunaan papan pintar interaktif. Justeru, kami sangat berharap bahawa inisiatif ini akan lebih memperkukuh penggunaan teknologi dalam pendidikan dan memberikan manfaat yang besar kepada guru dan pelajar di Selangor.

“Kerjasama ini merupakan langkah ke hadapan dalam memenuhi keperluan penghadapan pendidikan. Boleh layari www.israk.my untuk lanjutan,” kata Ahmad Najib Habeb ketika berlangsungnya majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Selayang Baru 6 Julai lalu.

Terdahulu pada majlis sama, turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan Selangor.

Malah sebagai inisiatif yang menyokong usaha itu, Selangor turut mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) yang menyediakan fasiliti dan kemudahan pembelajaran mengikut keperluan industri terkini.

Antara kursus yang ditawarkan di STDC ialah Teknologi Maklumat, Automotif, Elektronik, Elektrik, Kulinari, Motosikal, Tekstil Pakaian dan lain-lain.

“Selangor mempunyai bilangan sekolah dan institusi pendidikan yang paling banyak di Malaysia.

“Justeru perkembangan sektor pendidikan harus diberi keutamaan kerana ia akan menjadi tarikan kepada pelabur luar.

“Kita turut mahu menggalakkan kerjasama antara sektor pendidikan dan industri teknologi tempatan,” kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Gombak,  Zainal Ismail yang menyuarakan sokongannya terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan pendigitalan dalam pendidikan kerana ia telah terbukti sangat membantu guru dalam mengukuhkan  kaedah pengajaran dan pembelajaran serta dapat menarik minat murid ketika sesi PdPc berlangsung.

“Ia juga adalah selaras dengan salah satu teras utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah,” kata Zainal Ismail.