[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

Selangor, MCMC meterai MoU bandar pintar dengan peruntukan RM450 juta

Khalis Khadir 20/01/2026 | 10:27 MYT
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan hadir menyaksikan Majlis Pertukaran MoU antara Kerajaan Selangor dengan MCMC bagi pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Selangor pada Selasa. -Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Selangor, membabitkan peruntukan RM450 juta.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Selangor menandatangani MoU dengan MCMC untuk inisiatif Bandar Pintar Selangor, dengan peruntukan RM450 juta bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat.
  • Inisiatif ini dijangka meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor melalui perkhidmatan awam yang cekap, persekitaran bandar yang selamat, serta sistem pengurusan trafik dan bencana yang terancang.
  • MoU menumpukan kepada pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, keselamatan awam, pengurusan trafik, dan banjir pintar, serta melibatkan peningkatan peruntukan kepada RM450 juta untuk menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu bagi memperkukuh agenda pendigitalan serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat.

“Bagi rakyat Selangor, inisiatif ini akan meningkatkan kualiti hidup melalui perkhidmatan awam lebih cekap dan responsif, persekitaran bandar lebih selamat serta sistem pengurusan trafik dan bencana lebih tersusun dan berasaskan data.

“Akses kepada kesalinghubungan digital yang lebih meluas dan berkualiti juga akan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada manfaat ekonomi dan sosial dalam era digital,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Pertukaran MoU antara Kerajaan Selangor dengan MCMC bagi pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Selangor, di sini, pada Selasa.

Pada majlis itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan pertukaran MoU yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Hadir sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

Fahmi berkata, MoU itu selari dengan aspirasi Pelan Tindakan Pintar Selangor 2025 yang menekankan penggunaan teknologi bagi meningkatkan daya tahan bandar.

Menurut beliau, Selangor kini muncul sebagai negeri peneraju liputan jaringan telekomunikasi generasi kelima (5G) di Malaysia dengan pencapaian 96.9 peratus setakat 31 Disember lalu.

“Dengan populasi sekitar 7.4 juta, Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Malaysia, sekali gus mencerminkan jumlah penerima manfaat yang besar bagi sebarang inisiatif, pelaburan atau penyediaan perkhidmatan.

“Selangor kini muncul sebagai negeri peneraju liputan 5G di Malaysia, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan kesejahteraan, kemampanan dan kemajuan bersama,” ujarnya.

Katanya, MoU berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama di bawah penyelarasan dan pemantauan Pusat Pengoperasian Pintar dan Bersepadu Selangor (SIIOC)

“Tiga tumpuan ini ialah pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik serta pelaksanaan pengurusan banjir pintar.

“Pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar akan menjadi asas kepada bandar pintar termasuk peluasan rangkaian gentian optik, kemudahan Wi-Fi awam serta sokongan kepada Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela),” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan peningkatan peruntukan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Bagi menyokong inisiatif ini, peruntukan asal telah ditetapkan sebanyak RM350 juta. Dengan sukacitanya dimaklumkan, susulan permohonan dikemukakan Kerajaan Selangor, peruntukan tersebut telah disemak dan ditingkatkan kepada RM450 juta,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama strategik antara Kerajaan Selangor dan MCMC itu penting bagi memastikan pelaksanaan bandar pintar dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berimpak tinggi kepada rakyat.






#Bandar Pintar Selangor #Sultan Selangor #Raja Muda Selangor #Fahmi Fadzil