MALAYSIA

Selangor pastikan kesucian Islam kekal dipelihara - Exco

Bernama 20/06/2025 | 08:00 MYT
Mohammad Fahmi berkata orang awam digalakkan untuk melaporkan kepada JAIS sekiranya terdapat bukti individu mengamal dan menyebarkan perkara sedemikian. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneruskan usaha pemantauan, pengesanan dan penguatkuasaan berasaskan undang-undang terhadap individu mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama demi memastikan kesucian Islam terus dipelihara di negeri itu.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Selangor akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang terhadap individu yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama demi menjaga kesucian Islam.
  • Fatwa tahun 2014 hanya terpakai kepada individu, bukan organisasi, menurut keputusan Mahkamah Persekutuan; namun pihak berkuasa negeri tetap bimbang penyebaran fahaman melalui institusi.
  • Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan tersebut dan menggesa agar SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan 'Islam' dalam sebarang penerbitan berkaitan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata orang awam digalakkan untuk melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekiranya terdapat bukti individu mengamal dan menyebarkan perkara sedemikian.
"Umat Islam di Selangor amat sayang dan akan terus mempertahankan kesucian Islam. Majoriti tidak akan membenarkan mana-mana individu, kumpulan atau institusi yang cuba mencemar atau mengelirukan akidah, pegangan, fahaman serta amalan umat Islam terus beroperasi di Selangor.
"Institusi pentadbiran dan pengurusan agama Islam negeri seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS, Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan syiar Islam terus utuh dan dijaga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohammad Fahmi berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, bahawa fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 31 Julai 2014 hanya terpakai kepada individu dan bukan kepada Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi.
Beliau berkata berdasarkan fatwa itu, mana-mana individu berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama dikira sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Beliau turut bersetuju dengan pendirian dan kebimbangan MAIS, iaitu keputusan terbabit mampu membuka ruang kepada pihak tertentu untuk menanam fahaman sedemikian dalam kalangan umat Islam di Selangor dengan menggunakan pertubuhan, persatuan, syarikat atau institusi.
"Individu ini tidak patut dibiarkan bebas untuk terus mengamalkan dan menyebarkan fahaman sebegini sama ada secara terbuka ataupun tertutup menggunakan label 'Islam' untuk mendapatkan legitimasi," katanya.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa itu tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu.
Sehubungan dengan itu, baginda selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan "Sisters in Islam" terhadap apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan "Islam" tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat itu.
-- BERNAMA
#SIS Forum #Sultan Selangor #Kerajaan Negeri Selangor #agama islam