MALAYSIA
Selangor perkasa hala tuju digital negara, sambut 10 tahun kegemilangan Sidec

Barisan kepimpinan Sidec dan tetamu kenamaan bergambar bersama sempena sambutan ulang tahun ke-10 Sidec. - Gambar/ Sidec
PETALING JAYA: Selangor terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju transformasi digital negara apabila meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dalam satu majlis gala berprestij.
Disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sambutan bersejarah itu menjadi manifestasi kejayaan Selangor dalam mengarusperdanakan teknologi digital serta melonjakkan keusahawanan teknologi tempatan ke pentas global.
Sejak sedekad lalu, Sidec telah menyokong lebih 70,000 usahawan digital dan syarikat pemula (startup), menjana nilai dagangan kasar melebihi RM736 juta, serta melaksanakan lebih 80 program pembangunan merangkumi ekosistem e-dagang, bandar pintar, dan inovasi teknologi mendalam.
Dalam ucapannya, Amirudin menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus membina landskap digital yang progresif dan inklusif, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab teknologi serantau yang strategik.Sambutan tersebut turut menampilkan tayangan khas perjalanan Sidec selama satu dekad, termasuk kejayaan pelaksanaan projek berimpak seperti Malaysia Semiconductor IC Design Park dan misi pemecut global yang membawa jenama Selangor ke peringkat antarabangsa.
Majlis turut menyaksikan pelantikan tiga tokoh terkemuka sebagai penasihat strategik Sidec, langkah signifikan dalam membentuk hala tuju baharu yang lebih dinamik dan bertaraf dunia.
Antaranya ialah bekas Naib Presiden NVIDIA dan Foxconn, Datuk Lai Yit Loong yang dilantik sebagai Penasihat kepada Malaysia Semiconductor IC Design Park dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
Pelantikan ini memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan kerjasama teknologi rentas sempadan.
Turut dilantik, Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar, sebagai Penasihat kepada Sidec Sdn Bhd dengan fokus kepada dasar awam, pemerkasaan digital dan pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif.
Sementara itu, tokoh legenda semikonduktor dunia yang juga Pengarah Foxconn dan bekas Co-COO TSMC, Dr. Chiang Shang-Yi, turut menyertai barisan penasihat bagi memperkasa kepakaran dalam reka bentuk cip dan pembangunan industri berteknologi tinggi.
Dr. Chiang hadir menyampaikan syarahan khas yang mengetengahkan potensi Malaysia dalam industri semikonduktor global.
Beliau menekankan pentingnya pelaburan strategik dalam pembangunan bakat tempatan serta kerjasama awam-swasta sebagai pemangkin daya saing negara.

Para peserta GSEP diraikan selepas berjaya menamatkan latihan industri selama dua minggu di Shenzhen, China bersama syarikat semikonduktor terkemuka dunia. - Gambar Sidec
Sambutan ulang tahun ini juga diraikan dengan graduasi sulung Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP), iaitu inisiatif latihan intensif selama dua bulan di Shenzhen, China.
Seramai 30 peserta terpilih daripada 343 permohonan telah menerima latihan praktikal dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), penggunaan perisian Verilog HDL, serta menjalani lawatan ke syarikat teknologi ternama seperti HONOR, Reexen Technology dan National IC Innovation Center.
Dalam pada itu, satu lagi pencapaian penting dicapai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tiga hala antara Sidec, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Artem Ventures bagi menubuhkan Dana Semikonduktor Selangor (SSF).
SSF merupakan dana modal teroka pertama di Malaysia yang diterajui kerajaan negeri, khusus untuk mempercepat pertumbuhan syarikat pemula dan scale-up dalam bidang reka bentuk cip, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian semikonduktor lanjutan.
Langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang Selangor dalam membina rantaian nilai semikonduktor negara secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Dengan lebih sedekad pengalaman membina ekosistem digital yang progresif, termasuk inisiatif unggul seperti Selangor Deep Tech Xccelerator (Deep-X), Retail Tech Xccelerator (Retail-X) dan Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards, Sidec kini bersedia melangkah ke fasa pertumbuhan baharu.
Untuk maklumat lanjut layari www.sidec.com.my.

Sambutan ulang tahun ke-10 Sidec yang berlangsung meriah di Hotel One World, Petaling Jaya menghimpunkan tetamu terdiri daripada pemain industri, agensi kerajaan dan alumni program pembangunan usahawan anjuran Sidec. - Gambar Sidec
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami