MALAYSIA

Selangor peruntuk RM100 juta pastikan penganjuran SUKMA 2026 terbaik - MB

Bernama 14/11/2025 | 15:30 MYT
Amirudin membentangkan laporan Belanjawan Selangor 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Selangor memperuntukkan RM100 juta bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di negeri ini, yang dijadualkan berlangsung Ogos tahun hadapan.


Ringkasan AI
  • Selangor mengalokasikan RM100 juta untuk penganjuran SUKMA 2026 bagi memastikan kelancaran temasya sukan tersebut.
  • Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menyatakan bahawa peruntukan tersebut akan digunakan untuk pembangunan kemudahan sukan, termasuk menaik taraf Pusat Akuatik Selangor.
  • Beliau menekankan bahawa usaha ini juga akan memberi impak positif kepada industri sukan serta ekonomi dan pelancongan negeri Selangor.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi memastikan penganjuran berada di tahap terbaik itu akan disalurkan menerusi Bajet Khas SUKMA Selangor 2026.

Beliau berkata peruntukan itu akan meliputi pembangunan dan menaik taraf kemudahan sukan dengan antara kemudahan sukan utama yang dinaik taraf ialah Pusat Akuatik Selangor di Persiaran Akuatik, Seksyen 13, di sini.

"Projek ini dijangka siap pada 12 Jun 2026 bertepatan dengan penganjuran SUKMA 22 yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dan Para SUKMA dari 5 hingga 14 Sept 2026," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata selain itu, peruntukan turut merangkumi persediaan atlet dan jurulatih serta penglibatan komuniti dan kesukarelawanan.

Beliau berkata usaha terbabit turut membantu Selangor membuat persediaan selaku tuan rumah Islamic Solidarity Games yang akan berlangsung pada 2029 sekali gus merancakkan industri sukan sebagai peluang ekonomi dan pelancongan baharu untuk negeri.

-- BERNAMA




#sukma 2026 #tuan rumah #kemudahan sukan #peluang ekonomi