SHAH ALAM: Selangor merekodkan kes jenayah seksual tertinggi dalam tempoh tiga tahun terakhir dengan 90 peratus pelaku melibatkan warga tempatan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamisah Hasan berkata kepadatan penduduk, aktiviti ekonomi, desakan hidup serta capaian internet yang meluas menjadi antara faktor Selangor merekodkan kadar jenayah seksual paling tinggi berbanding negeri lain.

Beliau berkata sebagai sebuah negeri maju, kedudukan Selangor yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak juga memudahkan akses kemasukan penduduk dari luar yang antara lain turut menyumbang kepada kadar jenayah di negeri tersebut.

"Selangor merupakan negeri maju dan capaian internetnya mudah serta tinggi selain adanya banyak institusi seperti universiti serta penjara di mana banyak juga kes jenayah seksual berlaku di situ.

"Jadi, banyak sebab yang menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual sehingga Selangor muncul negeri tertinggi (kes jenayah seksual), diikuti Johor yang mana faktor kes adalah sama, iaitu mempunyai bilangan penduduk yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semalam.

Siti Kamsiah bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci mengenai statistik atau jumlah kes jenayah seksual yang direkodkan di Selangor.

Mengenai 90 peratus daripada pelaku jenayah seksual melibatkan warga tempatan, beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati pelaku dikenali oleh mangsa yang sebahagiannya merupakan ahli keluarga, rakan-rakan dan orang yang diberikan amanah seperti guru.

"Berdasarkan statistik, kebanyakan kes jenayah seksual berlaku adalah dalam kalangan mereka dalam kategori B40 susulan tekanan ekonomi selain persekitaran rumah serta kediaman yang tidak kondusif," katanya.

Sementara itu, Hussein ketika diminta mengulas mengenai kadar jenayah seksual tersebut berkata, statistik atau bilangan kes yang tinggi itu bukan gambaran sebenar kadar jenayah tersebut, mengambil kira situasi jenayah yang terkawal serta populasi penduduk Selangor yang melebihi tujuh juta orang.

"Kita tidak boleh kata oleh kerana jumlah kes lebih tinggi berbanding negeri lain, jenayah seksual di Selangor tinggi, tidak. Kes di Selangor bukan tertinggi kalau diambil kira bilangan penduduk," katanya.

Hussein berkata pihaknya tetap mengambil serius mengenai kadar tersebut dengan antara lain, meningkatkan aktiviti kawalan pencegahan jenayah melalui rondaan Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal selain bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menambah pemasangan kamera litar tertutup di lokasi tertentu seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

-- BERNAMA