Skip to main content

Malaysia

Selangor sasar jadi hab industri penjagaan warga emas peringkat negeri, ASEAN menjelang 2030

Anfaal berkata Selangor menjadi penanda aras bagi negeri-negeri lain dan juga negara serantau dari segi pelaksanaan dasar industri penjagaan warga emas. - Gambar hiasan
Anfaal berkata Selangor menjadi penanda aras bagi negeri-negeri lain dan juga negara serantau dari segi pelaksanaan dasar industri penjagaan warga emas. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Selangor disasarkan menjadi hab industri penjagaan warga emas di peringkat negeri dan ASEAN menjelang 2030 serta bersedia untuk menghadapi negara menua, menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari.

Beliau berkata Selangor menjadi penanda aras bagi negeri-negeri lain dan juga negara serantau dari segi pelaksanaan dasar industri berkenaan.

"Dasar dan pelan tindakan yang kita laksanakan bersifat berterusan melibatkan pelbagai pemegang taruh selain kita mahu memudahkan dari segi tatakelola dan kawal selia.

"Kita tidak mahu terlalu banyak birokrasi yang menyebabkan industri sukar untuk menjalankan perniagaan. Kemudahan menjalankan perniagaan merupakan matlamat utama kita dan ia dilaksanakan secara berterusan melalui advokasi dan promosi," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam "Hot Seat Session" bertajuk "Investment-Ready for the Care Boom: Policy Frameworks and Economic Potential in Selangor" sempena Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026 di sini hari ini. 

Anfaal turut memaklumkan satu daripada negara yang menunjukkan minat untuk melabur di Selangor dalam industri penjagaan ialah Korea Selatan.

Menurutnya, pelaburan berkenaan dari segi tekonologi dan penggunaan kercedasan buatan (AI) manakala Jepun menerusi Nagoya Institute of Technology mempunyai teknologi untuk membantu pesakit strok.

"Jadi apabila teknologi di peringkat antarabangsa dibawa masuk ke negara kita, kepakaran yang kita boleh kongsi bersama mereka itu merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang untuk memastikan ekonomi penjagaan terus berkembang," katanya.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han memaklumkan Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai Dasar Ekonomi Penjagaan yang komprehensif dan ia menjadi panduan kepada usaha negeri itu sehingga 2030.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu Selangor sudah mencatatkan jangka hayat tertinggi di negara ini dan jumlah warga emas di negeri itu dijangka mencecah kira-kira 1.4 juta orang menjelang 2040.

Jelasnya, kerajaan negeri berhasrat pelaburan dalam sektor penjagaan dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan bergaji lebih tinggi untuk rakyat, bekerjasama dengan perniagaan tempatan serta meningkatkan piawaian penjagaan bagi setiap keluarga.

“Bagi kerajaan negeri, ekonomi yang kukuh mesti diterjemahkan kepada kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat. Kampung persaraan, kemudahan kediaman dengan bantuan penjagaan dan pusat pemulihan tidak semestinya sesuai dengan kategori guna tanah sedia ada.

“Sehubungan itu, kami bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan garis panduan yang lebih jelas supaya pelabur mengetahui dari awal jenis pembangunan yang dibenarkan dan lokasi yang sesuai,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement