Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Selangor semak semula pakej pengurusan mayat bukan Islam

Bernama 17/11/2025 | 07:40 MYT
Sze Han berkata perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh bersama pihak berkepentingan.
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneliti dan menyemak semula pakej pengurusan mayat orang bukan Islam bagi memastikan kadar caj dikenakan adalah munasabah dan mampu ditanggung waris keluarga.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Selangor akan meneliti semula pakej pengurusan mayat orang bukan Islam untuk pastikan kadar caj munasabah dan mampu ditanggung waris keluarga.
  • Exco Pelaburan Selangor, Ng Sze Han, nyatakan krematorium awam dilaksanakan bagi akses semua golongan masyarakat, termasuk B40, pada kadar berpatutan.
  • Program Khairat Darul Ehsan (KDE) menyediakan bantuan tunai RM1,000 kepada rakyat berusia 50 tahun ke atas dan golongan OKU untuk meringankan urusan pengebumian.


Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMA) berkata perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh bersama pihak berkepentingan.

"Kemudahan krematorium awam dilaksana bagi memastikan akses menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40) mampu menggunakan perkhidmatan pembakaran mayat pada kadar berpatutan.

"Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan bekerjasama dengan pihak swasta bagi menawarkan harga lebih rendah untuk penduduk yang memerlukan," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan R. George Gunarajah (PH-Sentosa) yang ingin tahu status terkini pembangunan atau penambahbaikan krematorium di Selangor serta aksesnya untuk semua golongan termasuk B40.

Dalam pada itu, Sze Han berkata kerajaan negeri telah mengarahkan semua PBT mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan krematorium baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.

"Bagaimanapun terdapat beberapa kekangan termasuk jarak yang tidak sesuai antara kawasan kediaman dan komersial. Jadi, sekarang kami masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai.

"Setakat Oktober lepas, Selangor memiliki lapan krematorium awam iaitu masing-masing satu di Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Sepang dan dua di Subang Jaya, manakala dua lagi dalam proses pembinaan iaitu di Kuala Langat dan Hulu Selangor," katanya.

Selain itu, Sze Han berkata pelaksanaan program Khairat Darul Ehsan (KDE) antara inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan urusan pengebumian, dengan menyediakan bantuan tunai RM1,000 kepada rakyat berusia 50 tahun ke atas serta golongan kelainan upaya (OKU).

-- BERNAMA



#Selangor #pakej pengurusan mayat bukan Islam #Ng Sze Han #krematorium Selangor