MALAYSIA

Selangor tolak permohonan bina eskalator di Gua Batu Caves atas nama individu - Exco

Bernama 08/01/2026 | 20:30 MYT
Papparaidu berkata permohonan itu dikemukakan atas nama individu terbabit tanpa pendaftaran persatuan, sekali gus bercanggah dengan peraturan tanah di bawah Kanun Tanah Negara. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menolak permohonan Lesen Pendudukan Sementara bagi kegunaan komersial termasuk pembinaan eskalator di Gua Batu Caves yang dibuat atas nama individu selepas meneliti keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-4/2025 pada 6 Feb 2025.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Selangor menolak permohonan Lesen Pendudukan Sementara bagi kegunaan komersial seperti pembinaan eskalator di Gua Batu Caves atas nama individu tanpa pendaftaran persatuan, disebabkan bertentangan dengan peraturan tanah negara.
  • Exco V. Papparaidu menyatakan kerajaan hanya akan luluskan permohonan atas nama kuil untuk memastikan kepentingan masyarakat terjaga, sambil menekankan pentingnya proses kelulusan serentak bagi elakkan penangguhan.
  • Kerajaan Selangor meluluskan Lesen Pendudukan Sementara kepada Persatuan Kuil Sri Mahamariamman Devhasethanam untuk tujuan komersial di Bandar Selayang, Gombak, termasuk pembinaan eskalator, namun kesilapan dan ketidakpatuhan sebelum ini akan diperbetulkan.


Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti negeri V. Papparaidu berkata permohonan itu dikemukakan atas nama individu terbabit tanpa pendaftaran persatuan, sekali gus bercanggah dengan peraturan tanah di bawah Kanun Tanah Negara.

"Kerajaan negeri menolak permohonan itu kerana pemilikan tanah atas nama individu tidak dibenarkan dan kelulusan hanya boleh diberikan kepada persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Khamis.

Beliau berkata kerajaan negeri belum menerima laporan penuh mengenai status pendaftaran Persatuan Kuil Sri Mahamariamman Devhasethanam dengan pihak ROS ekoran keputusan MMKN lepas, yang telah mensyaratkan mereka supaya perlu berdaftar.

"Permohonan terdahulu atas nama individu itu pada Februari tahun lepas ditolak kerana kerajaan negeri menekankan tapak tersebut adalah untuk kegunaan awam. Pembinaan yang dijalankan sebelum kelulusan rasmi menyalahi prosedur dan boleh menjejaskan perancangan pembangunan tersusun.

"Saya bersama jawatankuasa terlibat telah memutuskan kelulusan hanya boleh dibuat atas nama kuil bagi memastikan kepentingan masyarakat awam terpelihara," katanya sambil menambah semua permohonan perlu diproses secara serentak termasuk permohonan jalan, kebenaran merancang dan pelan bangunan supaya kelulusan tidak tertangguh.

Papparaidu berkata beliau juga akan menyemak semula semua perkara termasuk status pajakan perniagaan dan bangunan komersial supaya segala kesilapan dan ketidakpatuhan sebelum ini diperbetul.

"Sekiranya tiada persetujuan dicapai, pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa mengambil tindakan termasuk merobohkan binaan bagi memastikan undang-undang dipatuhi," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata individu terbabit mahu pun pihak kuil tidak tampil berunding dengan mana-mana Exco atau pihak berkuasa tempatan sebelum membina pusat komersial itu, sekali gus menyebabkan kelulusan tertangguh.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan negeri secara dasar meluluskan permohonan pelupusan secara Lesen Pendudukan Sementara di bawah Seksyen 65 Kanun Tanah Negara 1965 kepada Persatuan Kuil Sri Mahamariamman Devhasethanam.

Kelulusan itu meliputi tanah rizab kerajaan di Bandar Selayang, daerah Gombak seluas 724.1 meter persegi (0.07241 hektar) untuk tujuan lain-lain jenis kegunaan komersial termasuk pembinaan eskalator.

Terdahulu, wujud pelbagai dakwaan terutamanya menerusi media sosial bahawa Kerajaan Negeri Selangor gagal membantu atau sengaja melengahkan kelulusan permohonan pembinaan pusat komersial dan eskalator di kawasan Gua Batu Caves.

-- BERNAMA



#media sosial #Batu Caves #Orang Asli #pelan bangunan