Skip to main content

Malaysia

Selat Melaka dan Selat Singapura kekal model kerjasama global - Jeffrey Siow

51658163165_selatmelaka.jpg
Laluan perairan itu membuktikan kepentingan negara-negara untuk bekerjasama dan berikrar demi kebaikan bersama di tengah-tengah ketidaktentuan rantaian bekalan global. - Gambar fail
Advertisement

SINGAPURA: Selat Melaka dan Selat Singapura kekal sebagai contoh terbaik mengenai kejayaan yang boleh dicapai oleh sesebuah negara menerusi kerjasama rapat, kata Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow.

Beliau berkata laluan perairan itu membuktikan kepentingan negara-negara untuk bekerjasama dan berikrar demi kebaikan bersama di tengah-tengah ketidaktentuan rantaian bekalan global.

"Selama lebih separuh abad, Indonesia, Malaysia dan Singapura telah bekerjasama rapat untuk meningkatkan keselamatan navigasi di perairan kami, termasuk di kawasan yang masih mempunyai pertikaian sempadan maritim.

"Meskipun wujud perbezaan pandangan, kita tidak membiarkan perkara itu melumpuhkan kerjasama yang terjalin," katanya pada pelancaran buku “The Straits of Malacca and Singapore: A Model for the World” pada Isnin.

Siow berkata ketiga-tiga negara pesisir itu turut mengesahkan semula pengiktirafan bahawa memastikan laluan perairan kekal selamat, terjamin dan terbuka adalah demi kepentingan terbaik semua pihak.

"Bukan sahaja negara pesisir yang menerima manfaat, malah hampir satu perempat daripada perdagangan maritim dunia melalui Selat Melaka dan Selat Singapura," katanya.

Buku yang dilancarkan oleh Pusat Undang-Undang Antarabangsa (CIL) National University of Singapore (NUS) itu meneliti bagaimana Singapura, Malaysia dan Indonesia bekerjasama menguruskan selat berkenaan secara berjaya, di samping mengimbangi kebebasan navigasi dengan kedaulatan serta perlindungan alam sekitar.

Buku itu turut menyorot peranan penting Singapura dalam merangka tadbir urus maritim fizikal rantau ini, bermula daripada kepimpinan diplomatik dalam merundingkan rejim laluan transit perintis pada Persidangan Ketiga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, hinggalah mendedahkan inovasi teknikal untuk memandu kapal dengan selamat merentasi perairan berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement