MALAYSIA

Selebriti dipercayai lakukan amang seksual akan didakwa Selasa ini

Umavathi Ramayah 13/06/2025 | 13:01 MYT
Menurut Hussein, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 atas perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang pelakon dan penyanyi terkenal yang dipercayai melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor akan didakwa Selasa ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu akan didakwa di Mahkamah Putrajaya.

“Kita mendapat arahan untuk menuduh suspek daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor pada hari ini (Jumaat),” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menurut Hussein, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 atas perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan keadilan ditegakkan serta melaksanakan siasatan secara teliti bagi melindungi hak mangsa dan menjamin ketelusan proses perundangan.

Media sebelum ini melaporkan, selebriti yang ditahan pada 3 Jun lalu berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun, mendakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.

Maklumat tersebut diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas lelaki tersebut. Suspek dan mangsa didapati berkenalan kira-kira dua bulan lalu.



#selebriti #penyanyi #mang seksual #Remaja perempuan #pendakwaan