Adik kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut disyaki akibat didera ibu tiri Bandar Dato Onn di sini dipercayai turut menjadi mangsa kepada wanita warga Indonesia itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata ia berdasarkan terdapat kesan parut luka di dahi dan badan mangsa yang berusia tiga tahun, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, kanak-kanak lelaki itu kini masih ditempatkan di bawah jagaan polis di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

"Kita sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital, tetapi hasil siasatan awal pemeriksaan semalam, mendapati terdapat kesan parut luka di dahi dan badan mangsa.

"Siasatan mengenai perkara itu sedang giat dijalankan dan pada Ahad ini kita akan serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan polis dibuat oleh ibu kandung kedua-dua mangsa itu.

"Difahamkan wanita tersebut sedang menguruskan pengebumian abang kepada kanak-kanak berusia tiga tahun itu di Rawang, Selangor hari ini (Khamis)," katanya.

Polis percaya kanak-kanak yang meninggal dunia itu menjadi mangsa dera sejak enam bulan lalu, manakala adiknya dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Kes kanak-kanak berusia tiga tahun itu dirujuk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Pada Rabu, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka di Bandar Dato Onn’, di sini.

Mangsa sebelum itu dipercayai pengsan ketika dihantar ke HSI, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan.

Mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedar diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian badan.

Susulan itu, bapa dan ibu tiri masing-masing berusia 33 dan 23 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Januari depan.