Setelah lima tahun selepas penubuhannya, pusat perlindungan remaja hamil, Sekolah Harapan, telah mencapai matlamatnya, kata pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Ismail Hamad.

Menurut beliau, tiada pelajar yang kembali ke sekolah itu selepas bersalin dan ini menandakan mereka telah insaf dan tidak mengulangi lagi kesilapan mereka.

“Matlamat penubuhan sekolah harapan boleh dikatakan tercapai selepas lima tahun beroperasi di Melaka, gadis yang mengandung dapat mengelakkan diri mereka daripada mengalami tekanan,” katanya kepada Astro AWANI.

"Hal ini kerana identiti mereka akan dirahsiakan sebelum dan selepas mereka menamatkan pengajian di sekolah tersebut,” katanya.

Sekolah harapan bukan sahaja menitikberatkan isu pembuangan bayi tetapi juga memberi pendekatan untuk menjaga gadis mengandung dari segi akademik, kemahiran dan ilmu keagamaan.

"Sehingga kini, kita tidak menerima sebarang aduan mengenai kes pengabaian bayi dan juga tiada laporan mengenai berulangnya kes hamil di luar nikah bagi kali kedua," katanya.

Menurut Ismail, penekanan diberi untuk aspek keagamaan yang dijalankan pada sesi pagi manakala sesi petang diisi dengan pelajaran akademik.

Menurutnya lagi, semenjak penubuhan sekolah itu yang terletak di Jasin, Melaka pada September 2010, sebanyak 241 bayi telah dilahirkan oleh pelajar sekolah itu.

Daripada jumlah itu, 135 merupakan bayi lelaki.

Menurut Ismail, hanya seorang bayi sahaja yang dilaporkan meninggal dunia manakala 22 bayi telah diambil oleh keluarga angkat.

“Kebanyakan bayi dijaga oleh ibu kandung mereka selain ada yang diserah kepada keluarga angkat dan prosedur pengambilan anak angkat tertakluk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya lagi.

Perbelanjaan sekolah itu ditanggung oleh Jabatan Agama Islam Melaka dengan peruntukan hampir RM500,000 setiap tahun termasuk untuk kos makan minum pelajar, gaji kakitangan dan sebagainya.

“Walau bagaimanapun, kos bersalin ditanggung sepenuhnya oleh keluarga remaja terbabit dengan bayaran sebanyak RM70 untuk kelahiran secara biasa manakala RM250 untuk pembedahan,” katanya lagi.

Sehingga kini seramai 238 remaja hamil dari pelbagai negeri ditempatkan di sekolah berkenaan dengan mencatatkan 14 penghuni pada 2010, 2011 (84), 2012 (51), 2013 (61), 2014 (34), dan enam belas penghuni bagi empat bulan pertama tahun ini.

Setakat ini, pelajar yang diterima di sekolah harapan ialah pelajar yang menjadi mangsa rogol, pelajar yang mengandung di luar nikah (bukan muhrim) dan suka sama suka.

Pelajar tersebut juga perlu bebas daripada penyakit, tidak mempunyai rekod dan tidak terlibat dalam kegiatan jenayah dan beragama Islam, katanya lagi.

Katanya, penubuhan sekolah harapan bukan sahaja untuk memberi perlindungan tetapi untuk memberi peluang kepada remaja perempuan untuk kembali ke pangkal jalan, di samping mengurangkan kadar pembuangan bayi.

Menurut Ismail, 90 peratus remaja mengandung disebabkan suka sama suka dan menjalinkan hubungan dalam masa yang singkat walaupun hanya berkenalan dalam tempoh sebulan atau lebih kurang dalam dua minggu.

“Mengikut statistik JAIM, sebanyak 10 peratus kehamilan remaja sekolah ini disebabkan oleh kejadian rogol”, katanya.

Katanya, ada kes gadis yang berkenalan melalui aplikasi WhatsApp yang menyebabkan dirinya mengandung walaupun hanya berkenalan selama dua minggu.

Penerimaan masyarakat terhadap pembukaan Sekolah Harapan bagi pelajar-pelajar yang hamil pada mulanya dikritik dan tidak menerima sambutan daripada masyarakat.

Namun, persepsi masyarakat telah berubah apabila melihat kerajaan negeri bersungguh sungguh menjaga gadis yang teraniaya dengan menyediakan kemudahan asas yang lengkap dari segi infrastruktur dan rawatan kesihatan termasuk rawatan mingguan dan bulanan, katanya lagi.

“Waris pelajar juga memberi sokongan kerana terdapat institusi yang prihatin dan menawarkan pertolongan untuk menjaga anak mereka yang hamil”.

“Masyarakat luar dan tempatan juga meletakkan harapan ke atas sekolah ini kerana terdapat kes di mana pihak polis mencadangkan untuk menghantar gadis yang mengandung akibat dirogol”.

Sementara itu, Ismail berkata terdapat kes di mana pasangan lelaki gagal dikesan terutamanya yang melibatkan warga asing.