Selepas RGL dan PCA, Malaysia dan Singapura bincang mengenai perjalanan ihsan

Firdaus Azil
Mac 23, 2021 08:44 MYT
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) bersama rakan sejawatannya Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala, hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura telah mencapai asas persetujuan untuk memperkenalkan skim perjalanan ihsan bagi pergerakan merentasi sempadan untuk rakyat kedua-dua negara tersebut.
Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berkata, perkara itu telah dibincangkan sewaktu pertemuannya dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Putrajaya hari ini.
Jelasnya lagi, perkara itu antara isu yang akan dibincangkan secara mendalam sewaktu pertemuan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong dalam masa terdekat.
“Jadi ada rakyat di Singapura dan Malaysia yang mempunyai sanak-saudara, ibu-bapa, datuk dan nenek, atau individu yang sakit kritikal, dan perlu dilawati dengan segera. Saya gembira bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan secara prinsip, dan saya berharap perkara ini dapat dibincangkan pada April.
“Apabila kedua-dua Perdana Menteri bertemu nanti, kami harap dapat membuat pengumuman yang signifikan, bagi memboleh kita bertemu dengan ahli keluarga di seberang Tambak, perniagaan bermula semula, dan mudah-mudahan sektor pelancongan kembali rancak,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, selepas kedua-dua mereka selesai mengadakan perbincangan di Putrajaya, hari ini.
Ia merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja Dr Balakrishnan selama dua hari di negara ini, yang akan berakhir esok.
Selain Hishammuddin, beliau turut dijadualkan untuk membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selain itu, Dr Balakrishnan juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Koordinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Selain itu, kedua-dua menteri tersebut bersetuju memulakan perbincangan khusus bagi mengiktiraf sijil vaksinasi yang dikeluarkan untuk rakyat masing-masing, dalam usaha memudahkan lagi perjalanan merentasi sempadan antara dua negara berkenaan.
Malaysia dan Singapura turut bersetuju untuk mempercepatkan lagi program vaksinasi masing-masing bagi penduduk jangka panjang, termasuk rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, dan rakyat Singapura yang menetap di Malaysia.
[TERKINI] Sidang media Menteri Luar Malaysia dan Singapura
Selain itu, mereka juga bersetuju untuk memulakan pergerakan antara sempadan secara berperingkat melibatkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pelaksanaan program vaksinasi kedua-dua negara memberi nilai tambah kepada usaha membuka semula sempadan Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata, dengan lebih ramai rakyat melalui proses vaksinasi, ia memudahkan usaha Wisma Putra dan Kementerian Luar Singapura untuk memudahcara, dan menyelaras usaha berkenaan.
"Selepas perjanjian awal yang saya dan Vivian usahakan, sama ada RGL atau PCA, dan kini kita bakal menyaksikan Pergerakan Ihsan antara rakyat. Sesuatu yang kita boleh tambah dalam kesemua usaha ini ialah program imunisasi.
“Dengan pelaksanaan program berkenaan di kedua-dua negara, ia telah memberi nilai tambah, dan memudahkan usaha kedua-dua Kementerian untuk mengkoordinasi kementerian dan agensi yang berlainan, dan akhirnya dapat mencapai kata sepakat untuk menuju ke hadapan,” katanya lagi.
#Hishammuddin Hussein #vivian balakrishnan #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #program vaksinasi #COVID-19 #Kementerian Luar #Singapura #Putrajaya #Lee Hsien Loong #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #rakyat Malaysia #vaksin