Selepas Rosmah, Najib pula mohon pasport sementara ke Singapura

Astro Awani
Oktober 15, 2021 07:10 MYT
Menurut Malaysiakini, kunjungan pasangan suami isteri terbabit ke negara di selatan tanah air itu adalah bagi menemani anak mereka Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas Mahkamah Tinggi membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor memperoleh pasport antabangsanya secara sementara untuk ke Singapura, hari ini suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak juga memfailkan permohonan yang sama.
Memetik laporan Malaysiakini, portal itu disahkan oleh peguam bela Ahli Parlimen Pekan itu, Nur Syahirah Hanapiah kepada portal tersebut.
Nur Syahirah berkata, pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan berkaitan pasport tersebut ke Mahkamah Rayuan, kerana rayuan bagi sabitan kes Ahli Parlimen Pekan itu sedang dibicarakan di situ.
Selain itu beliau berkata, permohonan tersebut akan didengari Mahkamah pada Isnin hadapan.
Menurut Malaysiakini, kunjungan pasangan suami isteri terbabit ke negara di selatan tanah air itu adalah bagi menemani anak mereka Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi.
Awal hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasportnya, bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk menemani anak perempuannya Nooryana Najwa, yang dijangka melahirkan anak kedua tidak lama lagi.
BACA: Mahkamah benar pelepasan sementara pasport untuk Rosmah ke Singapura
Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura
Katanya, anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi ketika bersalin dan pemohon amat diperlukan berada di sisi anaknya bagi tempoh sebelum, sewaktu, dan selepas bersalin.
Mohamed Zaini kemudian membenarkan permohonan itu, dengan Rosmah perlu mengembalikan pasport pada atau sebelum 6 Disember 2021.
"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober (hari ini)," kata Mohamed Zaini.
Rosmah juga hanya dibenar ke Singapura dari 22 Oktober dan perlu pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.
Namun, sebelum ke Singapura, Rosmah perlu menghadiri prosiding perbicaraan bela diri yang akan bersambung pada 21 Oktober ini.
#Najib Razak #Rosmah Mansor #pasport sementara