Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menjadi pemimpin negara luar kedua tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019), selepas Presiden Iran Hassan Rouhani.

Pesawat khas Erdogan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.30 tengah hari tadi, dan ketibaan beliau disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Rouhani pula tiba di KLIA, 9 malam Selasa dan disambut oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Mengikut jadual yang diedarkan, Presiden Iran itu akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, pada pukul 4 petang nanti.

Sementara itu, Erdogan pula dijadualkan akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Dr Mahathir , yang juga Pengerusi KL Summit 2019, pada pukul 4.40 petang ini.

Media turut dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima majlis mengadap Rouhani dan Erdogan secara berasingan di Istana Negara, bermula jam 5 petang, Rabu.