KOTA BHARU: Selepas tiga dekad “menghilang” akhirnya penyu kembali ke pantai Kelantan berikutan penemuan beberapa anak penyu oleh orang ramai di Pasir Puteh, semalam.
Penemuan itu segera dimaklumkan kepada MyKomuniti Perikanan (MyKP) setempat sebelum pihak berkenaan memanjangkan laporan itu kepada Jabatan Perikanan Kelantan untuk tindakan dan pemantauan lanjut.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Ismail Ibrahim berkata anak penyu yang ditemui itu daripada spesies agar.
“Sebanyak 156 ekor anak penyu ini kita lepaskan semula ke laut bagi tujuan pemuliharaan.
“Kita sudah lama tidak merekodkan pendaratan penyu di perairan Kelantan. Kemunculan semula anak-anak penyu ini satu petanda yang sangat positif untuk ekosistem laut kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Pejabat Perikanan Kelantan.
Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata Pantai Pachakan, Semerak dan Tok Bali di Pasir Puteh berpotensi menjadi lokasi pembiakan semula penyu seperti dahulu, susulan penemuan anak penyu dan telur di kawasan berkenaan.
Menerusi hantaran di media sosial, Tuan Mohd Sarupudin berkata penyu yang hidup di Pulau Redang sebelum ini juga pernah mendarat di Pantai Pachakan, Semerak, Pasir Puteh.
“Maka kita perlu lakukan sesuatu agar spesies ini tidak pupus. Antara langkahnya ialah melaksanakan kempen kesedaran supaya habitat penyu dapat terus dipelihara.
“Dengan perancangan yang baik, kita yakin Pantai Pachakan dan Tok Bali mampu menjadi lokasi pembiakan semula penyu seperti dahulu,” katanya.
-- BERNAMA