NATIONAL
Selesai masalah 'tiga serangkai' yang sekian lama membelenggu Sabah - ADUN
Masih ada rakyat yang berdepan dengan masalah infrastruktur bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meminta kerajaan serta semua pihak terlibat supaya menyelesaikan masalah 'tiga serangkai' yang membelenggu negeri ini sejak sekian lama.
ADUN Sabah berkenaan berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Terima Kasih atas Ucapan Dasar Kerajaan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman yang merujuk kepada masalah infrastruktur bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya.
Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau) berkata setiap minggu ada sahaja rungutan dan aduan daripada rakyat dalam kawasannya tentang ketiadaan bekalan air, lazimnya disebabkan kebocoran ataupun bekalan terputus namun pihak berwajib tidak memberi notis pemberitahuan awal kepada pengguna.
"Ini mengakibatkan pengguna tidak mampu menikmati bekalan air bersih dalam tempoh beberapa hari atau minggu, waima memakan beberapa bulan. Saya juga mohon kerajaan negeri meneliti kampung yanglangsung tidak mempunyai bekal air, terutamanya rakyat yang berada di kawasan kepulauan," katanya.
Beliau berkata pihak kerajaan dan mereka yang terlibat perlu mencari jalan untuk memastikan kawasan yang sukar dicapai, antaranya pedalaman dibekalkan dengan air bersih maka inisiatif seperti projek telaga tiub wajar dilihat bagi mengatasi masalah didepani rakyat selama ini.
Jafry berkata beliau telah menyuarakan masalah bekalan elektrik kepada pihak terlibat namun kawasan kampung, terutamanya pedalaman seperti Kampung Abai, Kampung Tidung, Kampung Dagat, Kampung Mumiang Kem, Kampung Selogong dan Kampung Sri Ganda masih tertunggu-tunggu bekalan itu.
Beliau berkata hubungan jalan raya yang teruk pada ketika ini membahayakan pengguna dan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo diharap dapat disiapkan dengan secepat mungkin bagi membantu rakyat.
"Jalan di kampung masih banyak yang perlu dilaksanakan dan diambil perhatian. Saya menyeru kepada kerajaan agar membuat satu kajian secara holistik dan komprehensif tentang keperluan jalan raya bagi menghubungkan kampung-kampung," katanya.
Datuk Dr Aliakbar Gulasan (ADUN dilantik) berkata agensi dan jabatan kerajaan terlibat dengan isu itu disaran menggunakan media sosial dengan lebih berkesan bagi menyampaikan maklumat dengan tuntas kepada rakyat dan sebagai platform menerima maklum balas bagi memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.
"Kadangkala saya melihat ada jabatan kerajaan yang menutup ruangan komen dan ini pastinya menghalang rakyat untuk berkomunikasi dan menunjukkan kurangnya ketelusan dalam pentadbiran. Beri peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka di media sosial masing-masing," katanya.
Beliau berkata mahu atau tidak, hakikat perlu diterima bahawa kemudahan asas di negeri Sabah belum selesai dan masih banyak perlu dilakukan namun beliau percaya kerajaan sedang merancang pelbagai program pembangunan yang berkaitan.
Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) berkata masih banyak kawasan pedalaman di Sabah, seperti Nabawan tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya yang baik.
Beliau meminta pihak berkaitan untuk mengambil perhatian segera terhadap isu kelewatan beberapa projek pembangunan di kawasan berkenaan, seperti naik taraf dua jambatan ke pekan Nabawan dan jalan Kampung Pemunterian ke Kampung Mesopoh.
Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Al-Hambra Tun Juhar kemudian menangguhkan persidangan.
-- BERNAMA